Bersama, kita bina semula Malaysia


TAHUN 2018 menandakan berakhirnya perjalanan panjang politik Malaysia sejak tahun 1998. Selepas 20 tahun, marilah kita jadikan 2019 sebagai tahun membina semula negara, mereformasi ekonomi dan membina keyakinan generasi akan datang. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat tahun baharu kepada anda semua.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, tindakan memangkah kertas undi pada 9 Mei 2018 telah melakar sejarah. Bagi mereka yang telah bekerja kuat sepanjang  beberapa dekad dalam arena politik seperti Lim Kit Siang, 2018 menjadi suatu pengakhiran dan juga permulaan baharu.

Saya berusia 41 tahun. Rasanya masih muda dalam politik. Tetapi, sepanjang kehidupan dewasa sejak 1998 telah ditumpukan bagi mencari jalan menumbangkan pemerintahan Barisan Nasional. Pada September 1998, ketika berarak di jalan raya Kuala Lumpur bagi menyokong Anwar Ibrahim, dengan laungan “undur, undur Mahathir”, kami menyangka kerajaan akan tumbang keesokan harinya. 

Pastinya ketika itu, kita tidak tahu ia mengambil masa panjang, sehingga 20 tahun, untuk menewaskan Barisan Nasional – bersama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, sekali lagi dan Anwar pula sebagai bakal perdana menteri. Walaupun ramai yang sinikal bahawa sejarah adalah satu ironi, saya percaya sejarah memberi peluang kepada Malaysia untuk kembali sembuh.

Melihat kembali, gelombang 2008 dan 2013 ternyata telah memusnahkan kekuatan tapak Barisan Nasional, tetapi ia tidak cukup untuk menjatuhkannya. Berakhirnya pemerintahan Abdullah Badawi membawa kepada kebangkitan kleptokrat Najib Razak.

Keadaan menjadi bertambah buruk, pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 10 Februari 2015 dan pemergian Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pada 12 Februari 2015 membawa kepada ajal Pakatan Rakyat. Tanpa seorang calon perdana menteri yang disepakati bersama, dan dengan keadaan PAS yang selepas menyingkirkan pemimpin moderat mereka, telah bekerjasama dengan pihak Najib Razak.

Berhadapan kritikan lantang, saya antara suara minoriti yang mencadangkan kerjasama dengan Dr Mahathir pada 2016. Selepas hampir setahun, bersama kumpulan kecil pemimpin Pakatan Harapan, kami telah bekerja untuk meyakinkan pihak lain membayangkan perdamaian Mahathir-Anwar dan Mahathir sebagai Perdana Menteri. 

Kit Siang dan Mahathir buat kali pertama duduk di atas pentas bersama pada 4 Mac 2016 ketika kedua-dua kumpulan mereka berasa kurang senang. Dr Mahathir berjumpa Anwar buat pertama kali dalam tempoh 18 tahun di kamar mahkamah pada 8 September 2016. 

Bagi merealisasikan peristiwa 9 Mei 2018, sejarah perlu menghargai Dr Mahathir dan Kit Siang atas keberanian dan pandangan jauh mereka untuk bekerjasama pada Mac 2016, dan jiwa besar Anwar Ibrahim.

Secara peribadi, sementara semua pihak memenangi kerusi dalam PRU14, saya tewas. Saya meninggalkan Yong Peng ke Kuala Lumpur pada jam 10 malam pada 9 Mei. Sebelum jam 11 malam, kakitangan saya mengesahkan kekalahan kami di Ayer Hitam. Saya menghubungi Wee Ka Siong untuk mengakui kekalahan. Saya tidak sedih. Tetapi, saya tenang dan tenteram.

Ketika rundingan kerusi yang amat penting pada 6 Januri 2018, Ayer Hitam telah menjadi “kerusi DAP” secara tidak langsung. Ia mengambil masa untuk meyakinkan kepimpinan tertinggi DAP untuk membenarkan saya bertanding melawan pemimpin senior MCA, Wee Ka Sing di Ayer Hitam. 

Bagi saya, jika Najib Razak masih Perdana Menteri selepas PRU14, saya tidak akan berminat dalam politik Malaysia lagi. Saya telah menyumbangkan zaman muda saya untuk perubahan ini. Namun, memandangkan saya tergolong di kalangan segelintir pihak yang mempercayai Barisan Nasional akan tumbang, dan Johor akan menjadi tempat persaingan yang penting untuk merampas beberapa kerusi daripada BN, saya mahu lakukan sehabis baik untuk pertempuran di Ayer Hitam.

Saya tidak menyesal atas langkah dan kerja saya selama dua dekad untuk membawa perubahan politik Malaysia. 

Saya tertarik dengan ungkapan Nelson Mandela dalam Log Walk to Freedom, “But I can rest only for a moment, for with freedom comes responsibilities, and I dare not linger, for my long walk is not yet ended.”

Perubahan pada 9 Mei kini dilihat mudah oleh ramai pihak. Tetapi, perkara yang paling penting sekarang adalah untuk membina semula negara. Sama sepertimana tempoh 20 tahun yang diambil untuk menewaskan Barisan Nasional, dengan pelbagai kesukaran dan kepayahan, kita perlu mempunyai kepercayaan, ketabahan dan keazaman untuk menyerahkan 20 tahun lagi bagi membina semula Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

Selamat tinggal 2018. Selamat datang 2019. – 2 Januari, 2019


* Liew Chin Tong merupakan timbalan menteri pertahanan yang juga pengerusi DAP Johor. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen