MALANG menimpa seorang pekerja restoran pada tahun baharu apabila tindakannya menegur seorang pelanggan yang merokok di premis berkenaan menyebabkan beliau ditampar.
Kejadian itu berlaku di restoran Ameer Corner di Shah Alam pada hari pertama penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan semalam, kata pemiliknya T Krisnasamy.
“Pekerja saya beritahu mereka (pelanggan) tidak boleh hisap rokok dalam kedai, kena hisap rokok dekat luar. Dia terus bangun lempang pekerja saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata satu laporan dibuat di Balai Polis Sri Muda Shah Alam atas kejadian tersebut demi menjaga keselamatan pekerjanya.
Katanya, larangan itu membawa kebaikan kerana kebersihan kedainya lebih terjaga kerana tiada lagi sisa rokok, namun larangan merokok itu juga menyebabkan pelanggan berkurangan.
“Yang baiknya larangan ini biasanya empat kali sehari kena sapu kedai, semalam kedai bersih tetapi dengan pelanggan pun sapu bersih (lari). Apa boleh buat,” katanya.
Beliau bimbang perniagaan akan terjejas kerana pelanggan beliau termasuk pelanggan setia sudah mula tidak datang melepak di kedai.
“Pelanggan itu selalu datang minum sini. Tetapi sekarang sudah tidak datang lagi. Saya sudah hilang satu pelanggan, kawan-kawan dia lagi. Rugilah macam ini,” katanya.
“Saya perhatikan beberapa pelanggan setia selama ini duduk, minum air dua tiga gelas, pesan makanan tetapi semalam mereka bungkus bawa balik.
“Bila saya tanya, mereka kata susah tidak boleh hisap rokok,” katanya.
Kes pekerja yang dilempang pelanggan itu turut diketahui Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) T Muthusamy.
Bagaimanapun, tidak ada apa yang mampu dilakukan buat masa ini, katanya yang akan mengambil masa sebulan untuk melihat kesan pelaksanaan larangan merokok di restoran terlebih dulu.
Selepas itu, persatuan akan mengambil tindakan lanjut menyerahkan memorandum kepada kerajaan.
“Apa yang berlaku semalam itu tidak betul. Kita beri tempoh sebulan pelaksanaan, selepas itu persatuan akan berjumpa, kaji peruntukan undang-undang dan beri memorandum kepada kerajaan.
“Rokok bukan benda haram di Malaysia. Kerajaan keluarkan lesen menjual rokok tetapi tidak beri lesen untuk hisap rokok. Kerajaan tidak mengambil langkah yang betul,” katanya.
Muthusamy berkata pemilik restoran juga menghadapi masalah baharu kerana ada kes perokok mula memasuki ruang dapur untuk merokok bagi mengelak didenda.
“Mereka sudah mula masuk kawasan dapur untuk merokok. Sekarang saya pula kena pasang pintu supaya mereka tidak masuk dapur,” ujarnya.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad semalam memberi jaminan bahawa penguatkuasaan ke atas larangan itu buat masa ini dijalankan melalui pendekatan mendidik.
Individu yang melanggar larangan itu boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun.
Pemilik premis makanan yang didapati membenarkan pelanggan merokok akan didenda maksimum RM2,500.
Perokok bagaimanapun dibenarkan merokok 3 meter dari premis makanan. – 2 Januari, 2019.
Komen