KALANGAN perokok menyambut baik larangan merokok di premis makanan awam namun berharap ruang khusus disediakan untuk perokok.
Mereka berpendapat, tanpa kemudahan seperti tong sampah, kawasan tiga meter dari premis makanan akan dipenuhi puntung rokok yang dibuang dan mengotorkan kawasan sekitar.
“Sediakan fasiliti, tempat untuk merokok, membuang puntung rokok. Kalau tidak orang buang di jalan, kawasan itu pula jadi kotor.
“Kami pun membayar cukai, jadi sediakan fasiliti yang menggunakan hasil kutipan cukai kami, untuk kami merokok,” kata Suppian Parji ketika ditemui The Malaysian Insight di Cheras, hari ini.
Suppian, 38, berkata, Malaysia perlu mencontohi Singapura yang menyedia ruang khusus untuk merokok dan membuang sisa rokok apabil melaksana penguatkuasaan ketat ke atas larangan merokok
“Apabila rakyat Malaysia pergi ke Singapura, mereka faham dan boleh ikut peraturan, jadi kita di sini, kalau nak jadi seperti Singapura, sediakan ruang khusus, tidak ada masalah. Merasalah juga hasilnya bila kami bayar cukai,” kata Suppian lagi.
Ishak Ariffin, 40, dari Bandar Tun Razak turut memuji tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berharap ruang khas disediakan untuk perokok.
“Larangan merokok ini eloklah untuk kesihatan, tapi buatlah tempat untuk merokok, walaupun sedikit, kecil, tapi ada, penguatkuasaan bagus, tapi fasiliti kena tambah.
“Orang berhenti merokok bukan boleh mengejut. Bukan hari ini kuatkuasa hari ini boleh berhenti.
“Contohnya sediakan bilik khas untuk merokok, kalau mereka nak merokok mereka masuk ke dalam bilik itu, walaupun kecil, janji ada,” tambah Ishak.

Raja Muzwira Raja Muzaffar, 42, dari Bandar Seri Permaisuri pula berkata, beliau tiada masalah dengan larangan tersebut kerana sudah mengamalkannya sejak 10 tahun.
“Saya setuju sahaja, saya sudah 10 tahun tidak merokok di restoran, kalau merokok saya akan duduk jauh (kerana) ada anak-anak kecil dan sebagainya.
“Dari segi penguatkuasaan saya tidak ada masalah, saya setuju sahaja. Kalau ada tempat merokok, pihak berkenaan nak buat bagus juga,” katanya.
Kalangan pengusaha restoran pula berpendapat, larangan itu akan memberi kesan kepada perniagaan kerana perokok tidak akan berada di kedai mereka untuk tempoh lama.
Namun keadaan itu akan memberi peluang kepada lebih ramai golongan berkeluarga untuk mengunjungi kedai mereka, kata pengusaha restoran ini.
Golongan berkeluarga dengan kanak-kanak itu tidak akan terganggu dengan asap rokok, kata pengurus Q Bistro Bandar Seri Permaisuri, Riyasudin Mohamed Dulkif, 37.
“Saya memang sokong larangan merokok, pelanggan kita ramai keluarga, dengan larangan merokok lebih ramai keluarga akan datang.
“Memang larangan merokok akan beri kesan sedikit dari satu segi, terutamanya golongan perokok, tetapi dari segi lain pelanggan tak duduk lepak lama dan lebih ramai pelanggan berkeluarga akan datang,” katanya.
Riyasudin berkata, premisnya juga tidak menyediakan ruangan khas untuk perokok.
“Buat masa ini kita tidak sediakan ruangan untuk membuang puntung rokok dan sebagainya,” katanya.

Semalam, seramai tujuh individu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan KKM menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makan.
Kesemua tujuh pemohon itu memfailkan permohonan mereka secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui pemfailan e-filing, menerusi Tetuan Haniff Khatri.
Mereka adalah Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.
Dalam permohonan itu, kesemua pemohon yang bertindak mewakili diri sendiri dan perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok, menamakan KKM selaku responden.
Mengulas berhubung perkara itu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedia berhadapan dengan kesemua mereka di mahkamah.
“Ini negara demokrasi dan mereka ada hak untuk nyatakan pendirian mereka. Mereka bebas untuk berbuat demikan dan kami sedia untuk berhadapan dengan mereka di mahkamah dan kami tahu pelaksanaan ini memang sah dengan peratusan kawalan tembakau dan rokok ini.
“Jadi kita jumpa di mahkamah dan lawan kes ini dan lihat siapa yang akan berjaya dalam program menjamin kesihatan rakyat khususnya anak-anak dan warga emas yang tidak boleh pertahankan diri mereka di tempat awam,” kata Dzulkefly, kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas lawatan ke premis-premis makanan di Cheras untuk meninjau penguatkuasaan pada hari pertama larangan merokok di tempat makan awam. – 1 Januari, 2019.
Komen