Semoga 2019 lebih bahagia, bermanfaat


SAYA berdoa semoga tahun 2019 nanti akan lebih membahagiakan dan lebih bermanfaat, khususnya buat rakyat Negeri Selangor dan seluruh rakyat Malaysia am-nya.

Sudah pasti ada yang tertanya-tanya selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu, adakah negara akan bertambah baik atau kita semua akan melalui saat yang sukar.

Saban hari pula kita disajikan dengan pelbagai khabar berkaitan keadaan ekonomi negara. Ada yang meresahkan kita dan ada juga yang menggembirakan kita.

Sudah pasti saya tidak mahu bersikap sambil lewa dengan hanya menyalahkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN). Acapkali juga saya dengar dan membaca luahan kemarahan rakyat agar kerajaan Pakatan Harapan (BN) tidak lagi menyalahkan Umno-BN.

Mereka mahukan pentadbiran yang diterajui kerajaan PH baik di peringkat negeri mahupun pusat untuk mengotakan janji dan melaksanakan segala perubahan yang dijanjikan.

Segala gesaan tersebut menurut saya merupakan suatu gesaan yang wajar.

Rakyat Malaysia memilih untuk menukar sebuah kerajaan yang korup, rasuah dan tidak cekap, agar mereka ditadbir oleh kerajaan yang berwibawa, berintegriti dan efisien. 

Justeru aspirasi murni itu merupakan suatu tanggungjawab moral yang besar dan suatu kewajipan untuk dilunaskan. 

Pimpinan PH terutamanya di Selangor tidak punya waktu untuk dibazirkan. Kami harus bekerja kuat demi rakyat.

Oleh itu, menerusi perutusan ini, saya cuba merumuskan kembali apa yang telah dirangka yang telah dirancang serta dilaksanakan demi pembangunan negeri dan kemaslahatan rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan.

Pada 23 November yang lalu, saya telah membentangkan belanjawan yang mengangkat agenda merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri. 

Cabaran kali ini adalah untuk menetapkan suatu keseimbangan di antara mencipta aliran pendapatan baharu dan memastikan program-program kebajikan terutamanya buat golongan B40 dapat diteruskan.

Bagi mencapai matlamat merancakkan ekonomi negeri, pentadbiran Selangor telah mengenalpasti potensi-potensi di sembilan buah daerah tersebut. 

Makanya Agenda Klusterisasi atau Gugusan Ekonomi telah dilancarkan bertujuan untuk mencetuskan kesan limpahan atau “spillover effect” kepada setiap pelusuk Negeri Selangor. 

Kami yakin dasar ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan domestik serta antarabangsa dan sekaligus memastikan aliran pendapatan baharu buat kerajaan negeri.

Manakala itu, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berpaksikan pesan Al-Quran, Surah Al-Nahl ayat 97: “Hayaatun Toyyibatun”, memberikan suatu kehidupan yang baik kepada rakyatnya, pentadbiran ini kekal istiqamah menjayakan inisiatif-inisiatif peduli rakyat (IPR).

Justeru pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut kini berlandaskan prinsip “gift to empowerment” bertujuan meningkatkan daya saing penerima-penerima IPR serta membantu mereka menaiki tangga mobiliti sosial.

Sementara itu juga program-program kebajikan tersebut hanya disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

Oleh itu suatu penambahbaikan kepada pelaksanaan IPR adalah perlu bagi memastikan kesinambungan dan kewangan negeri yang mampan.

Saya berikrar akan berusaha keras untuk memastikan setiap rakyat Negeri Selangor mendapat manfaat dari kemakmuran negeri ini.

Saya memohon agar mereka yang lebih bernasib baik memahami dasar IPR yang mengutamakan kebajikan dan keperluan golongan B40.

Kebanyakan daripada mereka ini hidup sebagaimana yang dinukilkan James C. Scott di dalam bukunya The Moral Economy of The Peasant, “is that of a man standing permanently up to the neck in water, so that even a ripple is sufficient to drown him.”

Akhirul kalam, Negeri Selangor hanya akan mampu mengorak langkah ke depan sekiranya setiap rakyatnya “Maju Bersama” serta memainkan peranan masing-masing untuk memastikan negeri ini kekal aman dan sentosa.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita menjaga keharmonian, mengamalkan toleransi dan bersatu-padu demi kesejahteraan Negeri Selangor Darul Ehsan yang dinaungi Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.
 
Selamat Tahun Baru 2019. – 31 Disember, 2018.

*Amirudin Shari adalah Menteri Besar Selangor.*
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen