LIMA tahun minimum diperlukan untuk lulus jurusan perubatan, dan perlu menjalani latihan sehingga tiga tahun lagi sebagai doktor pelatih (housemanship) di hospital kerajaan sebelum layak menjadi doktor perubatan terlatih.
Tetapi, bagi kira-kira 1,200 graduan perubatan di Malaysia sekarang, mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk menjadi doktor terlatih disebabkan masalah pemotongan bajet, kekurangan penempatan dan lebihan bekalan graduan.
Ada antara mereka yang jadi barista atau memandu Grab bagi menampung hidup sementara menunggu penempatan di hospital kerajaan di seluruh negara.
Sumber kerajaan berkata Pakatan Harapan (PH) mewarisi masalah tersebut kerana kegagalan pentadbiran terdahulu melakukan perancangan yang teratur ditambah pula dengan semakin banyak universiti yang menawarkan kursus perubatan yang diiktiraf kerajaan.
Malaysia mengiktiraf kursus perubatan daripada 346 universiti, termasuklah 34 universiti dalam negara.
“Kebelakangan ini wujud masalah tak berpadanan. Terlalu ramai yang ambil kursus perubatan tetapi tak cukup hospital untuk mereka, malah penempatan pun lambat disebabkan pemotongan bajet sejak beberapa tahun lepas,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Sumber menambah yang Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai peruntukan untuk penempatan doktor pelatih, malah agensi itu sendiri tidak pasti bilakah peruntukan itu akan diberikan.

“Sehingga peruntukan diberikan, 1,200 pelajar dalam senarai menunggu terpaksa terus menunggu. Dan saringan untuk penempatan baharu pun tidak akan dijalankan.
“Ini bermakna graduan perubatan yang menunggu untuk masuk senarai menunggu juga perlu tunggu hingga saringan baharu dilakukan. Ia boleh ambil masa yang lama,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insight.
Sumber berkata yang kerajaan juga cenderung untuk tidak memindahkan doktor selepas mereka tamat menjalani latihan untuk jimatkan kos pemindahan.
“Pemindahan hanya untuk yang diberi keutamaan atau penuhi kekosongan jawatan, selain itu tidak ada,” tambah sumber lagi.

Situasi mengejutkan itu berlaku ketika KKM berkata ia akan memenuhi rancangan yang diumumkan enam bulan lalu untuk mengatasi masalah kekurangan penempatan doktor pelatih.
Seorang graduan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata beliau memohon penempatan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jun lalu dan masih menunggu jawapan.
Graduan berusia 24 tahun itu berkata beliau sedar jumlah graduan perubatan melebihi penempatan yang tersedia dalam negara.
“Pengambilan baharu akan dibuka setiap dua bulan dan ketika itulah 1,000 graduan sepatutnya diambil- itu yang dikata graduan sebelum ini kepada kami.
“Tetapi (realitinya), hanya 400 graduan yang diambil,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau kini bekerja di sebuah kedai roti dan kek di Kuala Lumpur, menambah yang beliau bimbang kemahiran dan ilmunya akan terhakis sekiranya terpaksa menunggu terlalu lama untuk penempatan.
Wujud juga masalah pembayaran pinjaman pendidikan, katanya yang merupakan peminjam pendidikan Mara yang belajar di Perak Royal College of Medicine.
“Tak kisah macam mana pun, saya masih perlu bayar pinjaman. Saya harap dapat penempatan segera.”
Katanya, beliau malah kecewa mendengar “kisah kejayaan” graduan lebih awal daripadanya yang berjaya mendapat penempatan dalam tempoh lapan bulan selepas tamat pengajian.
“Ada antara kami yang sudah lapan bulan (tamat pengajian) tapi masih tidak dapat penempatan,” kata Ahmad.

Menunggu dan berharap
Antara langkah dijanjikan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada Jun lalu untuk menyelesaikan masalah graduan menunggu ini termasuklah mengurangkan tempoh latihan daripada dua tahun kepada 18 bulan kepada doktor pelatih cemerlang supaya senarai mereka yang menunggu untuk penempatan dapat dipendekkan.
Dzulkefly berkata tindakan itu dijangka dapat dijalankan bermula 2019 dan akan melibatkan sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah keseluruhan doktor pelatih.
Graduan perubatan juga menunggu kesan sebuah lagi langkah diumumkan kementerian- melanjutkan moratorium program perubatan peringkat ijazah baharu untuk institusi tinggi awam sehingga 30 April 2021.
Ini akan menghadkan jumlah graduan perubatan baharu, walaupun kementerian tidak dapat mengawal jumlah graduan dikeluarkan universiti luar negara. Buat masa sekarang, terdapat 34 institusi dalam negara menawarkan kursus perubatan diiktiraf.
Satu lagi langkah yang diumumkan adalah meningkatkan jumlah slot latihan daripada 10,835 kepada 11,706 menerusi penambahan hospital latihan tambahan.
Jun lalu, Dzulkefly berkata terdapat 47 buah hospital latihan pada masa sekarang berbanding hanya 38 pada 2009. Jumlah ini termasuklah 44 buah hospital di bawah KKM dan tiga buah hospital universiti- Hospital Universiti Sains Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Jawatan baharu juga akan diperkenal secara berperingkat, katanya, dalam jabatan anestesia, perkhidmatan kecemasan, psikatari dan jabatan kesihatan premier bagi menyalurkan graduan perubatan kepada bidang kepakaran khusus.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Mohamed Namazie Ibrahim mengalu-alukan langkah tersebut, tetapi berkata kesannya hanya dapat dilihat dalam masa beberapa tahun lagi.
Walaupun peningkatan hospital latihan adalah langkah yang baik, hospital terbabit perlu dilengkapkan dengan “kakitangan kanan dan kemudahan perubatan bagi memastikan doktor pelatih mendapat latihan yang bagus.”
Dr Mohamed juga mendedahkan satu lagi masalah- sikap graduan yang memilih dan hanya mahu ditempatkan di hospital tertentu sahaja.
“Kekosongan (penempatan) di hospital diiklankan dalam talian tetapi ada graduan yang melambat-lambatkan permohonan mereka kerana hanya mahu bekerja di hospital tertentu, yang mungkin tiada kekosongan.
“Jika mereka tidak kisah tentang lokasi dan pergi di mana ada kekosongan, mereka tak perlu tunggu lama. Mereka tak sepatutnya memilih,” katanya.
Masih menunggu
Tempoh menunggu yang lama bukanlah perkara mengejutkan untuk graduan perubatan yang sudah diberi amaran oleh senior mereka tentangnya.
Choi Lai Yee yang berasal dari Pulau Pinang dan graduan Universiti Malaya bagaimanapun berkata selepas empat bulan, keadaan bertambah sukar.
“Tempoh menunggu lama dah berlaku sejak bertahun-tahun. Kami berharap yang kerajaan baharu dapat menangani isu ini,” kata graduan tajaan JPA itu.
“Tiga hingga empat bulan boleh tahan lagilah. Tetapi, semakin lama tunggu, pengetahuan perubatan kami akan terhakis,” kata graduan berusia 24 tahun itu yang kini bekerja sambilan di Kuala Lumpur. Beliau menyewa bilik di Petaling Jaya dan gaji kerja sambilan hanya mampu menampung duit sewa dan perbelanjaan bulanannya.

Penempatan doktor pelatih diadakan sebanyak tiga kali setahun dan 5,000 tempat ditawarkan.
Tetapi, buat seorang graduan yang hanya mahu dikenali sebagai Arun, beliau masih bimbang kerana mendapati kumpulan graduan perubatan yang lebih awal daripadanya masih tidak mendapat penempatan.
Lulusan Charles University, Czech Republic pada Julai lalu sudah memohon penempatan menerusi JPA pada Ogos.
“Saya periksa dengan JPA pada September dan mereka kata proses saringan akan bermula pada Disember tetapi sekarang kami denga ria ditunda kepada Februari 2019 kerana mereka masih tak boleh beri penempatan kepada kumpulan graduan terdahulu.
“Kami juga dengar yang mereka yang (memohon) pada Jun juga masih menunggu penyaringan sebelum dapat tempat.
“Jika (mereka yang awal) masih tak dapat, bila agaknya kami akan dapat? Kami harap kerajaan baharu akan dapat selaraskan waktu menunggu,” kata Arun yang kini bekerja sebagai pegawai pemasaran. – 1 Januari, 2019.
Komen