Insentif RM5,000: Apa perlunya geran hak milik?


PERSATUAN Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) dihubungi ramai peneroka Felda dan waris/pentadbir kebun, yang ragu dan keliru dengan arahan Felda, agar melengkapkan semua dokumen termasuk menyertakan geran hak milik kebun dan rumah.

Ia antara syarat bagi membolehkan mereka layak mendapatkan insentif RM5,000 seperti di umumkan perdana menteri.

ANAK mohon penjelasan pengarah besar Felda, mengapa dokumen yang penting seperti hak milik diperlukan, walhal ketika durian runtuh RM15,000, sebelum PRU13, dokumen yang sama diserahkan kepada Felda.

Jika rekod dan maklumat peneroka sedia ada sama ada di Ibu Pejabat Felda mahupun Felda di peringkat rancangan (seperti diminta sebelum ini), apa perlunya diberi lagi?

Di saat Felda bermasalah, pemberian dokumen dan salinan hak milik tanpa alasan kukuh, tentu sekali menimbulkan kebimbangan. Ia boleh terdedah kepada manipulasi, yang akhirnya menjerat peneroka.

Seperti mana durian runtuh RM15,000, yang kemudiannya mendedahkan RM1.7 bilion (RM15,000×112,635 peneroka) datangnya daripada penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, ANAK yakin pemberian RM5,000 itu datangnya dari duit peneroka sendiri.

ANAK menyokong peneroka Felda mengambil wang RM5,000 berkenaan, kerana ia hak peneroka.

Namun, jangan sesekali mengikat diri/beraku Janji bagi memenangkan kerajaan yang korup dalam PRU14 ini.

Harga diri peneroka dan warga Felda umumnya, tidak semurah dedak yang ditabur; sebaliknya kerajaan baru yang dipilih, mestilah membawa agenda perubahan bagi mengembalikan Felda di atas landasan yang betul. – 25 Ogos, 2017.

* Mazlan Aliman ialah presiden ANAK.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen