.jpg)
GABENOR Bank Negara Malaysia Muhammad Ibrahim baru-baru ini dalam satu kenyataannya di Forum Invest Malaysia berkata generasi muda mesti optimistik.
Katanya, ekonomi berada pada asas kukuh dan di tempat yang baik, merujuk kepada prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar 5.6% pada suku pertama tahun ini dan pencapaian itu diperakui berdasarkan kepada “angka-angka yang baik diterbitkan oleh agensi penarafan antarabangsa”.
Saya mohon untuk tidak bersetuju dengan tuan gabenor: anak muda di negara ini ada seribu satu alasan untuk berasa bimbang.
Izinkanlah saya menghuraikan agar angkatan belia tidak dibius dengan khayalan dan cerita dongeng.
Pertama, kita belajar dalam kelas Ekonomi 101 bahawa pertumbuhan GDP tidak semestinya diterjemahkan kepada kenaikan taraf hidup pada kadar yang sama. GDP tidak memberitahu kita siapa yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan itu serta apakah ia mapan dan inklusif.
GDP sebenarnya tak ubah seperti “speedometer” kereta yang hanya menunjukkan kelajuan, tanpa memberitahu apakah kita duduk di jalan yang betul, apakah minyak hampir habis atau apakah enjin sudah terlebih panas.
Ini samalah seperti mengatakan kelajuan kita sesuai, atau kita perlu pergi lebih laju, walaupun sebenarnya kita sudah masuk jalan yang salah dan minyak pula tinggal sedikit. Pengukuran semacam ini tentulah tidak begitu cerdik, bukan?
Apa yang mustahak bagi anak muda bukanlah angka GDP yang jadi tajuk berita tetapi kesan dan akibat daripada pertumbuhan ekonomi kepada kesejahteraan mereka. Ya, GDP tumbuh tetapi gaji tidak naik, pekerjaan pun tidak bertambah.
Ya, memang benar GDP tumbuh 4.2% tahun lalu tetapi ia tidak diterjemahkan kepada penambahbaikan kehidupan anak muda ini. Malah, gaji pada tahun lalu tidak meningkat.
Kenaikan gaji median bagi pekerja Malaysia pada 2016, selepas diselaraskan dengan inflasi, sebenarnya tidak pun sampai RM20 sebulan. Purata gaji graduan baru Malaysia antara 2007-2015 pula, selepas diselaraskan dengan inflasi, secara umumnya kekal tidak berubah. Tidak usahlah kita terpukau dengan satu tajuk berita yang besar tentang angka GDP.
Kedua, kerja sekarang ini susah sangat hendak dapat. Walaupun ekonomi menunjukkan pertumbuhan pada tahun lalu, tetapi malangnya jumlah penganggur pula naik sebanyak 13% sepanjang tempoh yang sama.
Lebih buruk lagi, kebanyakan peluang kerja dicipta bagi kategori kemahiran rendah, bukannya pekerjaan kemahiran tinggi yang diperlukan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Bagi golongan belia, keadaan malah lebih buruk. Kadar pengangguran belia di Malaysia lebih kurang 11%, kira-kira tiga setengah kali ganda lebih tinggi daripada kadar nasional. Memiliki ijazah bukan lagi jaminan akan ada kerja; seorang daripada setiap empat orang belia yang tiada pekerjaan golongan siswazah.
Kalau sekalipun graduan ini beruntung dapat kerja, seorang daripada dua mendapat gaji kurang RM2,000 sebulan. Ini sesuatu yang membimbangkan ketika tenaga kerja hari ini sedang digantikan oleh kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan automasi.
Ada juga padanan tidak seimbang dalam pasaran pekerjaan, apabila kurangnya pekerjaan baru yang dicipta dipadankan dengan graduan yang tidak bersedia masuk ke pasaran.
Ketiganya, graduan muda ini terbelit hutang dan tidak mampu untuk beli rumah sendiri. Purata graduan universiti berhutang RM30,000 dengan PTPTN. Mampukah seseorang yang berhutang sebanyak itu sebelum ia memperoleh pekerjaan dapat membina kehidupan yang baik kelaknya?
Dari mana kita boleh dapat angka di atas tentang upah dan pekerjaan yang membimbangkan? Dari Bank Negara Malaysialah, seperti yang diterbitkan dalam laporan tahunannya yang terbaru. Tuan gabenor mungkin ingat kerana beliau sendiri yang melancarkan laporan itu dengan wajah yang dapat difahami kenapa tampak segusar itu.
Berbeza dengan optimisme tuan gabenor, setiap rakyat Malaysia, dan bukan saja golongan belia, wajar bimbang dengan keadaan ekonomi negara. Ada banyak isu struktur yang belum lagi ditangani.
Data BNM menunjukkan kita ini negara yang mempunyai hutang tinggi, baik dalam sektor korporat, isi rumah atau malah kerajaan. Kita terlalu banyak hutang. Ekonomi kita digerakkan oleh kepenggunaan yang sangat bergantung pada hutang, dan hutang yang tinggi ini suatu hari nanti akan merencatkan perbelanjaan.
Beban hutang ini akan memberi kesan kepada permintaan dan pertumbuhan pada masa akan datang. Pelaburan dalam negara juga mempunyai masalah, di mana kita makin kurang melabur, malah pertumbuhan ekonomi dipacu oleh perbelanjaan berbanding pelaburan pada 2016 dan 2017.
Sektor pembuatan kita juga bertumpu pada skala yang rendah, bukannya pada skala yang canggih yang boleh melonjak kemajuan negara.
Nilai mata wang yang lemah juga menambah derita kita. Sudah tiba masanya kita berhenti memuji ringgit yang lemah. Malaysia melalui susut nilai yang berterusan selama empat tahun, mengakibatkan kerugian berjumlah 36% daripada segi nilai. Ini bukan sesuatu yang boleh kita banggakan.
Akhirnya, adakah tuan gabenor benar-benar mengharapkan kita percaya apa yang dikatakan oleh agensi penarafan kredit (CRA) ? Sebahagian kita mungkin merasakan penarafan itu sukar hendak dipercayai kerana mereka terbukti tidak cekap dalam analisa kewangan dan ekonomi. Ironinya, tuan gabenor sendiri mengakui hal ini dalam ucapannya pada majlis yang sama beberapa tahun yang lalu.
Banyak kajian menunjukkan CRA tidak memberikan analisa dan penilaian yang betul. Daripada sekuriti yang didukung dengan cagaran subprima bertaraf AAA yang dikeluarkan pada 2006 sebelum krisis kewangan global, 93%, ya, 93 daripada 100, sudah diturunkan kepada taraf yang rendah.
Berdasarkan pada prestasi mereka, orang awam, terutamanya mereka yang bertanggung jawab pada dasar kewangan di Malaysia, sepatutnya melihat CRA ini sebagai pihak yang kerjanya tidak begitu cekap, dan kita tidak wajar mendapat nasihat ataupun mengikut telunjuk mereka dalam perbahasan tentang dasar ekonomi.
Melihat pada ketidakcekapan mereka, kurang bijak kalau kita berbuat sebaliknya.
Apa yang kita perlukan sekarang ialah satu usaha segera untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat dan pelabur. Ini penting, malah harus dilakukan sebelum kita menangani semua permasalahan struktur dalam sektor pendidikan, tenaga kerja, tadbir urus dan sebagainya.
Untuk mendapatkan semula keyakinan, kita mesti mengatasi defisit keyakinan dan ini menuntut kita memahami asal usul permasalahannya.
Seperti yang ditulis oleh Daim Zainuddin lewat tahun lalu dalam The Edge, kita berdepan dengan defisit keyakinan yang kronik sebahagiannya kerana kita kekurangan pakar yang memiliki keberanian moral, integriti, dan kejujuran untuk berkata benar kepada penguasa yang mentadbir negara.
Beliau seterusnya menambah “rakyat dan pelabur, tempatan dan antarabangsa, mesti ada keyakinan pada mereka yang menguruskan ekonomi. Kurang pintar dan kurang cekap tidak boleh diganti dengan kesetiaan kepada pemimpin”.
Pembohongan akan membuka pintu kepada lebih banyak pembohongan, dan sekali lagi rakyat hilang kepercayaan kepada anda, walaupun ketika anda berkata benar, orang tidak lagi akan percaya. Anda tidak boleh menyelesaikan masalah negara apabila ada defisit keyakinan, katanya.
Justeru, golongan belia ada seribu satu alasan untuk curiga. Pandangan tuan gabenor yang optimis itu malah menggusarkan. Kita wajar berasa begitu bimbang akan masa depan negara, terutamanya apabila kita lihat mereka yang diberi tanggungjawab untuk menentukan dasar negara kini sering menafikan hakikat yang ada.
Mereka ini tidak berlaku adil kepada negara. Usahlah kita mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat kepada kita. – 25 Ogos, 2017.
* Osman Jailani ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen