MENERAJUI sebuah jabatan yang dikenali sebagai lubuk rasuah bukan suatu tugas yang mudah, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Mustafar Ali.
Tugas itu memerlukan komitmen serta ketegasan yang tinggi dan beliau juga perlu berdepan dengan sikap warga jabatan itu sendiri dalam membasmi rasuah, katanya.
Beliau akui, segelintir pegawai dalam jabatan dengan kekuatan 15,000 orang itu enggan menerima perubahan yang dibawa dan mahu berterusan melakukan aktiviti jenayah tersebut.
“Tidak ada sabotaj tetapi pada masa yang sama memang ada segelintir dalam jabatan yang berasa apa yang berlaku dahulu, mereka hendak teruskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga akui antara perkara utama yang mendorong segelintir kakitangannya untuk terus bergelumang dengan kegiatan itu adalah gaji dan elaun yang rendah.
Jelasnya, tangga gaji pegawai dan anggota jabatan itu berbeza dengan jabatan lain dan tidak setimpal dengan cabaran dan ancaman yang dihadapi mereka.
“Saya tidak mahu berikan alasan gaji kecil, rasuah diambil tetapi bila mereka membandingkan dengan jabatan lain, yang menerima elaun-elaun tambahan, kita minta elaun ini juga diberikan kepada pegawai JIM.
“Kita mahu memperkukuhkan kecekapan, latihan dan latihan lanjutan, jiwa dan minda mereka bagaimana hendak tolak rasuah.
“Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, ada banyak perkara lagi yang perlu dilakukan. Ini bukan kerja mudah. Sebab itu masih ada segelintir yang terlibat dengan rasuah,” katanya.
Soal elaun dan gaji tersebut yang diterima kakitangan imigresen merupakan antara perkara yang perlu diperbaiki, katanya.
Bagaimanapun, pengalamannya selama 30 tahun dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedikit sebanyak berjaya mewujudkan stigma ke atas perlakuan rasuah dalam imigresen, katanya.
Tiada kompromi
Jelasnya, beliau tidak berkompromi dengan sebarang perlakuan rasuah terhadap anggota jabatan itu sejak menerajui agensi itu dua tahun lalu.
Pendekatan yang diambilnya melibatkan transformasi ke atas modal insan, kawalan dan operasi jabatan tersebut.
Antara tumpuan utamanya adalah pengurusan sistem dalam jabatan imigresen yang melibatkan pelbagai vendor.
Vendor berkenaan membekalkan sistem yang ditumpangkan di dalam sistem imigresen myIMMs, antaranya melibatkan visa, pekerja asing dan passport.
Jelasnya, imigresen juga dilihat sebagai lubuk rasuah ini kerana apabila sesuatu perkara dicadangkan seperti pelantikan vendor untuk urusan pengambil semula pekerja asing, ianya terus diterima.
“Contohnya apabila ada tiga vendor utama yang membuat urusan pengambilan semula pekerja asing. Ramai yang tertanya kenapa tiga sahaja – MyEG Services Sdn Bhd, Iman Resources Sdn Bhd dan Bukti Megah Sdn Bhd. Kenapa tidak JIM sendiri yang laksanakan?
“Saya tidak mahu mempertikaikan itu sebab apabila saya masuk JIM, perkara itu sudah berlaku, sudah berjalan dan kita hendak fokuskan kerja-kerja imigresen yang lain.
“Tetapi apabila tamat sahaja tempoh, pada 30 Ogos lepas, kita tidak sambungkan. Tidak ada lagi program pulang secara sukarela. 31 Ogos mengambil kesempatan hari kemerdekaan, kita perlu merdekakan negara kita daripada pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya.

Menurut Mustafar, beliau juga menerima banyak desakan untuk meneruskan program E-kad, kad kebenaran bekerja sementara bagi pendatang tanpa dokumen perjalanan yang bekerja secara haram.
Program berkenaan ditutup pada 30 Jun lalu namun ramai pekerja memberi alasan tidak sempat mendaftar dan juga alasan kesesakan.
Tegas Mustafar, program berkenaan tidak akan dilanjutkan walau dilihat zalim.
“Kalau kita sambung pun mereka ambil sambil lewa juga. Dengan ketegasan saya di sini, lepas tamat kita akan terus lakukan operasi satu Malaysia. Zalim, nampak kejam tetapi kita hendak pastikan negara kita selamat, sejahtera dan berdaulat.
“Sebab itu saya tubuhkan Bahagian Kualiti dan Pengurusan. Sebelum ini tidak wujud. Ada beberapa bahagian yang berisiko seperti Bahagian Pengambilan Pekerja Asing tetapi ada beberapa bahagian yang lebih berisiko tinggi seperti di KLIA dan sebagainya,” ujarnya.
Perubahan struktur
Dalam tempoh dua tahun, Mustafar turut mewujudkan satu jawatan baru timbalan ketua pengarah operasi, tambahan kepada dua timbalan ketua pengarah sedia ada yang menjaga soal pengurusan dan kawalan.
“Saya berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara dan minta satu lagi timbalan ketua pengarah operasi sebab penguatkuasaan undang-undang, perisikan, depoh, siasatan dan pendakwaan, pemerdagangan orang, kita perlukan satu entiti khas.
“Kalau dalaman dah bagus, di luar kita tunjukkan betul-betul, kita tangkap bukan sahaja Pati, kita juga tangkap dalang-dalang sama ada warga tempatan mahupun warga luar. Saya turun sekali operasi untuk tunjukkan komitmen,” katanya.
Katanya, jabatan itu juga bekerjasama dengan jabatan lain bagi memastikan usaha membanteras salah laku jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
“Kepelbagaian kerja yang ada, jumlah penguatkuasa yang hendak mengawal, banyak kekangan dari segi jumlah pegawai, aset dan logistik. Ini cabaran yang kita hadapi.
“Dengan 15,000 pegawai yang ada, kita cuba sebaik mungkin,” katanya. – 31 Disember, 2018.
Komen