Sistem nilai Melayu dalam Malaysia Baru


SEMALAM, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad menyebut tentang masalah Melayu dalam ekonomi. Sejak Merdeka hingga hari ini, pelbagai dasar telah dilaksanakan kerajaan bagi membantu Melayu dari segi ekonomi. 

Istilah yang biasa kita dengar adalah affirmative action. Produknya adalah Dasar Ekonomi Baru. Ternyata selepas dekat separuh abad dasar-dasar ini dilaksanakan, Melayu masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi. 

Menariknya, dalam mencari punca masalah ini Dr Mahathir mengenalpasti ada yang tidak kena dengan sistem nilai orang Melayu. Lantas sebagai penyelesaiannya, Dr Mahathir menyarankan orang Melayu mengamalkan sistem nilai Islam kerana nilai-nilai Islam ini boleh mengeluarkan Melayu daripada masalah ekonomi hari ini.

Kenyataan Dr Mahathir itu sudah tentu ada benarnya berdasarkan pengalaman beliau yang panjang. Tidak boleh tidak, kalau kita singkap kebijaksanaan tokoh kita, Pendeta Za’ba seorang Melayu tokoh bahasa dan budayawan, beliau telah pun membahaskan hal kemiskinan Melayu ini sejak 1930-an lagi.

Za’ba menekankan bahawa kemiskinan Melayu ini bukan sahaja kemiskinan dari segi ekonomi tetapi kemiskinan Melayu ini meliputi kemiskinan beragama, kemiskinan akhlak, kemiskinan watak (sikap) dan kemiskinan otak (ilmu), yang mana termasuk kemiskinan sifat bergantung pada diri sendiri.

Dr. Siddiq Fadzil dalam syarahannya tentang Za’ba menggesa orang Melayu jika mahu menjadi maju, harus meneladani Saidina Umar al-Khattab, iaitu berani mentertawakan diri atas kejahilan diri sendiri dan menangisi diri atas kezaliman diri sendiri. Istilah yang beliau gunakan adalah otokritik atau autocritical yang bermaksud kritik diri.

Dan punca utama kepada kemiskinan Melayu ini menurut Za’ba adalah pencemaran yang terjadi kepada aqidah agama yang dianuti orang Melayu dan sikap penguasa bangsawan-bangsawan Melayu yang menindas dan memperhambakan Melayu.

Dalam bulan lepas, Anwar Ibrahim juga telah menyentuh hal kemiskinan Melayu dan kaum-kaum lain, dengan berkongsi pandangan bahawa dalam merenung masalah ini, para juruekonomi harus jujur dan bukan sahaja berada di menara gading dengan unjuran angka-angka tetapi harus menghayati realiti dalam masyarakat dengan menyebut semula perihal Indeks Sarong yang diperkenal Professor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Menariknya, kalau kita merenung dengan jujur tentang masalah kemiskinan ekonomi Melayu ini, tidak boleh kita nafikan bahawa ianya berkait tentang perihal ilmu dan kemahiran. Ilmu yang tidak mencukupi, kemahiran yang tidak diasah dan pengalaman yang tidak memberikan nilai tambah selalu menjadi sebab Melayu lemah dari segi ekonomi dan tidak mampu pergi lebih jauh dalam perkembangan diri.

Sebab itu dalam mana-mana penyelesaian kepada permasalahan kemiskinan ini, soal pendidikan tidak akan pernah terlepas. Persoalannya, bagaimanakah bentuk pendidikan yang boleh mengeluarkan Melayu dari masalah pendidikan ini?

Za’ba menggunakan istilah “pelajaran yang betul” untuk menggambarkan pendidikan yang tepat untuk orang Melayu. Anwar sering memetik “pendidikan untuk kaum tertindas yang diperkenalkan oleh sarjana pendidik, Paulo Freire dalam bukunya Pedagogy of the Oppressed dan “pendidikan pembebasan” oleh sarjana Islam, Al-Kawakibi dalam bukunya The Nature of Despotism.

Manakala tentang latihan kemahiran pula, Anwar memberikan penegasan semasa membahaskan Belanjawan 2019 baru-baru ini bahawa dalam kita mahu mengelakkan kesenjangan pendapatan kaya miskin makin melebar, pentingnya kita menyiapkan masyarakat, Melayu Bumiputera, dengan kemahiran dan pengetahuan dalam keusahawanan dan pendigitalan industri era revolusi industri 4.0.

Selain daripada ilmu dan kemahiran tadi, menyentuh semula persoalan sistem nilai yang dibangkitkan Dr Mahathir, sistem nilai orang Melayu juga hendaklah digilap semula supaya berupaya meninggalkan gejala khurafat dan tahyul dalam budaya lama sekaligus memahami dan menyelami kembali pegangan aqidah yang murni.

Orang Melayu hendaklah meninggalkan kepercayaan takut kepada hantu-hantu moden yang datang dari fitnah, berita palsu dan fatwa serong yang dilambakkan dalam dunia maklumat hari ini yang mana ianya tidak berasaskan kepada fakta dan ilmu dan hanya berfungsi sebagai retorika dan hasutan kepada kebencian dan ketakutan.

Orang Melayu hendaklah merangkul kekuatan nilai-nilai agama yang sejagat yang bukan sahaja terikat dengan nilai tentang Islam dan Iman tetapi juga nilai tentang Ihsan kerana ihsan ini menuntut kepada kerja buat yang cemerlang.

Dr. Mahmood Zuhdi dalam syarahan Tauhidik Management, menafsirkan prinsip ihsan yang diambil daripada ayat “bersolat seperti Tuhan melihat aku atau aku melihat Tuhan” kepada membuat sesuatu pekerjaan, samada ianya menelaah ilmu atau mengusahakan kerja atau beribadat, dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan, bukan sekadar di tahap yang mediocre atau laih.

Menghayati nilai ihsan dan gesaan kepada kejayaan dalam seruan azan, jika direnung dan diteliti,mampu mengeluarkan Melayu dari kebergantungan kepada orang lain kepada kebergantungan kepada diri sendiri, sekaligus mengeluarkan Melayu daripada kemiskinan dan kelaihan kepada kesenangan dan kecemerlangan.

Namun begitu, dalam menanggapi masalah kemiskinan Melayu ini, kita harus sedar bahawa masalah kemiskinan ini juga dikongsi oleh semua kaum lain, kerana ini adalah masalah bersama bukan sahaja di negara kita tetapi dunia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Gagasan 2030 Pembangunan Mampan meletakkan cabaran kemiskinan dan kemalaratan ini sebagai sasaran nombor satu untuk diselesaikan.

Maka, penyelesaian kepada cabaran kemiskinan ini sudah tentu bukan hanya menumpu kepada satu golongan sahaja tetapi menuntut kepada penyelesaian yang inklusif, merangkumi semua kaum dalam negara dan bangsa seluruh dunia dalam mencapai penyelesaian yang lestari dan mampan. – 30 Disember, 2018.

*Yasir Tamizi adalah seorang jurutera yang berbangsa Malaysia.*
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen