Jangan guna pengaruh dapatkan kontrak, Dr M ingatkan ahli Bersatu


Noel Achariam Sheridan Mahavera SM Amin

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengulas tentang amalan ahli parti mendapatkan kontrak menggunakan pengaruh dalam Kabinet. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Disember, 2018.

TINDAKAN akan diambil terhadap ahli atau pemimpin Bersatu yang melanggar undang-undang untuk mendapatkan kontrak dan lesen perniagaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Bersatu itu berkata, kontrak berkenaan hanya dapat diperoleh melalui tender dan kerajaan tidak akan menjamin ia akan dimenangi.

Beliau juga memberi amaran, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak jika berlaku salah laku.

“Saluran yang betul adalah proses tender. Kita tidak boleh memberi jaminan segala-galanya.

“Jika terdapat salah laku, SPRM akan datang menyiasat tanpa mengambil kedudukan ahli dalam parti,” katanya.

Pengerusi parti itu mengulas kebimbangan terhadap ahli Bersatu meminta kontrak dan peluang perniagaan daripada pemimpin tertinggi parti yang juga merupakan menteri Kabinet dalam kerajaan.

Dr Mahathir juga berkata terdapat anli uang sememangnuya layak mendapat kontrak tetapi dinafikan oleh kerajaan terdahulu.

Tetapi ahli Bersatu itu perlu ingat bahawa mereka kontrak hanya diberi berdasarkan merit.

“Sesetengah ahli kita sangat berkebolehan. Mereka telah didiskriminasi semasa kerajaan lepas. Sekarang mereka merasakan bahawa mereka boleh mempunyai peluang jika ada tender dalam apa jua kontrak.

“Jika mereka mendapat kontrak, jangan fikir kerana mereka ahli parti. Mereka layak dan boleh menang kontrak kerana kerajaan tidak lagi melakukan diskriminasi seperti yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Dr Mahathir bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) di PICC di Putrajaya.

Beliau diminta mengulas ucapan Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman yang meminta pucuk pimpinan parti itu menggunakan kuasa kerajaan untuk “membantu” pemimpin akar umbi.

Abdul Rashid antara lain menuntut pemimpin parti memperkenalkan semula Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP) supaya projek di negeri yang dikuasai pembangkang dapat dikawal semula oleh parti kerajaan.

Tindakan ini bertentangan dengan ucapan Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berang dengan perwakilan menggunakan pentas PAT untuk meminta jawatan dan kontrak. – 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen