KETUA Pengarah Jabatan Imigresen, Mustafar Ali akan mengetuai sebuah agensi baharu menangani jenayah wang haram tahun depan ketika Putrajaya memperkemaskan usaha membanteras rasuah dan penyelewengan, kata beberapa sumber.
Bekas pegawai anti rasuah yang dipindahkan ke Jabatan Imigresen oleh pentadbiran Najib Razak pada 2016 itu akan menamatkan perkhidmatannya esok.
Beliau disebut-sebut bakal memimpin Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), yang penubuhannya diumumkan oleh Putrajaya minggu lalu.
Agensi baharu itu dilaporkan akan mula beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun depan, untuk menangani pengaliran keluar wang secara haram yang menyebabkan negara rugi berbilion ringgit setahun.
“Tugas Mustafar di Imigresen habis akhir tahun ini dan beliau akan pindah ke agensi baharu,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight, yang maklum tentang perpindahan tersebut.
Dua sumber lain di Putrajaya turut mengesahkan maklumat yang sama.
Mustafar bagaimanapun enggan mengesahkan perpindahannya ke agensi baharu itu.
Semalam, Imigresen mengeluarkan jemputan kepada media memaklumkan majlis amanat dan paluan berundur Mustafar di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, pada petang Isnin ini.
Jemputan itu dikeluarkan pegawai perhubungan awamnya, Abdul Haidir Mohd Sukor.
Mustafar dilantik mengetuai Imigresen pada Julai 2016 selepas berkhidmat lebih 30 tahun dalam agensi anti rasuah, daripadanya namanya Badan Pencegah Raruah (BPR) sehinggalah dinaik taraf menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jawatan terakhirnya timbalan ketua pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM.
Dalam satu wawancara pada Ogos 2016, Mustafar berkata beliau masih pegawai SPRM tetapi dipinjamkan sementara ke Imigresen
Minggu lalu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Abu Kassim Mohamed mengumumkan penubuhan NFCC dalam usaha kerajaan menangani isu pengaliran keluar wang secara haram.
Penubuhan pusat itu akan digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi pusat termasuk SPRM, Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan Bank Negara Malaysia.
“Kita harap ia mula beroperasi secepat mungkin selepas undang-undang dibuat.
“Bagaimanapun, kerajaan sudah bersetuju melantik satu pasukan diketuai seorang pegawai kanan kerajaan untuk memastikan pembentukan dan perjalanannya,” kata Abu Kassim dalam sidang media pada 21 Disember lalu.
Penubuhan NFCC adalah satu daripada 61 inisiatif yang sedang dibincangkan serta diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dalam tempoh enam bulan sejak Jun lalu. – 30 Disember, 2018.
Komen