Najib Razak, Pak Lah sertai Jemaah Penasihat Umno


SM Amin

Bekas presiden Umno Najib Razak akan menganggotai Jemaah Penasihat Umno bersama Abdullah Ahmad Badawi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2018

DUA mantan presiden Umno, Najib Razak dan Abdullah Ahmad Badawi dilantik menganggotai Jemaah Penasihat Umno yang dipengerusikan veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah.

Pelantikan mereka disahkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini, kata pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan.

“MT baru-baru ini cuma tambah keahlian sahaja, iaitu Datuk Seri Najib dan Tun Abdullah. Kedua-duanya bekas presiden Umno,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Mohamad diminta mengulas mesej yang tular di media sosial kononnya beliau telah menubuhkan Majlis Pengerusi Umno (MPU) yang dibentuk bagi merangka semula hala tuju Umno.

Mesej itu juga menyatakan Najib akan dilantik sebagai pengerusi MPU, timbalannya Abdullah dan Tengku Razaleigh sebagai ketua Majlis Tertinggi.

Mohamad menjelaskan mesej yang tular itu tidak betul dan tidak ada apa yang disebarkan sebagai “Majlis Pengerusi Umno”.

“Minta jangan ada kekeliruan,” katanya, menegaskan Tengku Razaleigh masih pengerusi jemaah penasihat sementara Najib dan Abdullah dilantik sebagai ahli.

Jemaah Penasihat Umno diumumkan penubuhannya oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 27 Julai lalu, dengan Tengku Razaleigh diberi mandat memperincikan tugas dan tanggungjawab badan itu, termasuk menentukan keahliannya.

“Majlis penasihat yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tengku Razaleigh memang sudah ada ditubuhkan oleh DS Zahid dan dipersetujui oleh MT sebelum ini,” kata Mohamad.

Pada sidang media mengumumkan penubuhannya, Zahid ketika itu berkata jemaah penasihat itu dibentuk bagi memantau perjalanan dan hala tuju Umno sebagai pembangkang.

Jemaah Penasihat Umno adalah antara sembilan jawatankuasa yang dibentuk oleh Zahid selepas terpilih sebagai presiden parti, bertujuan memperkasakan Umno. – 29 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • one step forward ten steps backward

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan