.jpg)
SAYA telah membaca menerusi keratan akhbar bahawa menteri dalam negeri menyatakan bahawa peguam negara telah mengarahkan satu inkues kematian dibuat untuk menentukan punca kematian arwah Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia yang disyaki telah dipukul semasa kejadian rusuhan kuil di Subang Jaya.
Pertama, saya terpanggil untuk bertanya kenapa menteri dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memberi pernyataan akhbar tersebut dan bukan peguam negara sendiri?
Ini memberi persepsi kepada rakyat Malaysia bahawa menteri KDN campur tangan terhadap urusan siasatan polis dan pendakwaan peguam negara.
Kedua, mengapa peguam negara mengarahkan satu inkues kematian dibuat walhal polis sedang atau masih menyiasat kes kematian arwah Adib ini sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan?
Adakah peguam negara sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan kecekapan pihak polis melakukan tugas siasatan kes bunuh ini?
Sudah tentu satu tindakan menyiasat ‘punca kematian’ dan menyiasat ‘siapa yang menyebabkan kematian’ arwah Adib merupakan objektif yang berlainan?
Kenapa pihak kerajaan menerusi peguam negara cuba memesongkan pandangan rakyat yang menunjukkan seakan-akan kematian arwah Adib terbela walhal pembunuh Adib masih bebas?
Saya amat simpati dengan keluarga arwah Adib yang sehingga kini tertanya-tanya siapakah pembunuh anak mereka?
Saya meminta pihak polis menyelesaikan siasatan file kes ini dengan segera dan pihak Pejabat Peguam Negara sebagai pendakwa raya perlu tegas menerusi siasatan pegawai penyiasat polis bagi menentukan samada arwah Adib dibunuh, siapa tertuduhnya dan bukan menggunakan prosiding inkues kematian oleh sebuah mahkamah koronor bagi tujuan menyiasat bagaimana arwah Adib meninggal dunia dan bukan mencari pembunuhnya.
Rakyat sekarang melihat samada kerajaan ini mematuhi kedaulatan undang-undang atau hanya menggunakan prosidur undang-undang bagi melenggah-lenggahkan keadilan. – 28 Disember, 2018.
*Mohamad Hasan merupakan timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas presiden*
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen