.jpg)
SAYA menyokong penuh keputusan peguam negara untuk mengarahkan prosiding inkues bagi seorang majistret menjalankan prosiding di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Punca kematian ini penting untuk dikenal pasti secara undang-undang sama ada kematian Adib konsisten akibat kecederaan yang dialaminya atau disebabkan komplikasi lain yang tidak berkaitan dengan kecederaannya.
Dalam kes Pendakwa Raya lawan Shanmugan 2002 6 MLJ 563, Hakim Mahkamah Tinggi Suriyadi Halim Omar menegaskan bahawa tugas majistret semasa mengendalikan inkues kematian adalah untuk bertindak sebagai koroner bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian si mati.
Hakim Suriyadi menjelaskan seperti yang berikut:
“The magistrate court had assumed the powers and duties of a coroner’s court. A coroner’s inquest was a court of law, though not a court of justice, because it was essentially set up to investigate and ascertain the cause of death. Apart from being shackled by a limited mandate, a coroner was also not bound to follow the usual procedure of law courts. The position of the magistrate in the instant case was no different to that of a coroner when holding an inquiry of death, and thus, the magistrate was similarly not bound by the usual procedure of courts of law and normal rules of evidence.”
Ini bermaksud dengan prosiding mahkamah koroner ini, majistret boleh menentukan perkara-perkara berikut:
- Bagaimanakah Adib menemui ajal?
- Bilakah Adib menemui ajal?
- Apakah punca kematian Adib?
- Adakah kematian Adib disebabkan oleh perbuatan atau kecuaian mana-mana pihak?
- Sama ada wujud unsur jenayah dalam kes kematian tersebut.
Bagaimanapun, kuasa mahkamah koroner tidaklah sehingga menentukan siapa pembunuh Adib.
Dapatan mahkamah koroner nanti hanya boleh menunjukkan kebarangkalian siapa yang paling berkemungkinan menyebabkan kematian dan/atau membunuh Adib.
Sememangnya mahkamah jenayah adalah forum yang lebih sesuai membicarakan hal ini dengan syarat ada tertuduh yang didakwa di mahkamah.
Malangnya sehingga kini, empat suspek utama yang pernah ditahan reman kerana disyaki menyebabkan kematian Adib telah dibebaskan dengan jaminan polis dan polis masih gagal menangkap kembali kesemua suspek berkenaan.
Jika ini berlaku, orang ramai tidak boleh dipersalahkan jika menganggap keempat-empat suspek berkenaan telah melarikan diri kemungkinan ke luar negara bagi mengelak tangkapan semula dan pendakwaan.
Oleh itu, sementara menunggu suspek ditangkap semula, prosiding inkues ini amat dialu-alukan bagi membolehkan bukti-bukti sedia ada didokumenkan dahulu melalui mahkamah inkues.
Sepertimana kes kematian Teoh Beng Hock yang bukan sahaja melalui prosiding inkues tetapi satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut ditubuhkan yang akhirnya dapatan dan syor RCI telah digunakan untuk memperbaiki prosedur pengendalian standard (SOP) proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selepas prosiding inkues, satu RCI juga perlu ditubuhkan kerajaan bagi tujuan menyemak kembali keadaan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia sama ada ia boleh mencetuskan huru-hara dalam kalangan masyarakat.
Jika suspek pembunuh Adib telah berjaya dikesan, mereka juga harus segera didakwa di mahkamah jenayah.
Keadilan untuk Adib. Al-Fatihah. – 27 Disember, 2018.
* Mohd Khairul Azam Abdul Aziz adalah peguam bela dan peguam cara.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen