Umno tidak jual PWTC, kata pengurusannya


SM Amin

Gerbang Perdana Sdn Bhd, syarikat yang dikatakan pemilik baru PWTC menafikan ia sudah membeli bangunan itu. – 27 Disember, 2018.

PUSAT Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang menempatkan ibu pejabat Umno, masih lagi milik parti bekas kerajaan itu dan tidak dijual kepada mana-mana pihak, kata pengurusannya.

Gerbang Perdana Sdn Bhd, syarikat yang dikatakan pemilik baru PWTC, juga menafikan kepada The Malaysian Insight ia sudah membeli bangunan itu.

Kekeliruan itu timbul apabila pengarah urusan Gerbang Perdana, Yahya Abdul Jalil dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Putrade Property Management Sdn Bhd hujung Oktober lalu, kata ketua pegawai eksekutif Putrade, Shamsul Kamar Ahmad.

“Tidak bolehlah kaitkan syarikat-syarikat Yahya yang lain dengan PWTC. Dia membantu menguruskan sebagai ahli lembaga pengarah.

“PWTC tidak dijual dan bangunan itu masih milik Umno,” kata Shamsul kepada The Malaysian Insight.

Yahya juga menjelaskan pelantikan beliau sebagai ahli lembaga pengarah Putrade dibuat atas kapasiti peribadi dan bukannya syarikat.

“Tiada kena mengena dengan Gerbang Perdana. Memang saya memiliki Gerbang Perdana tetapi tidak timbul cerita PWTC telah dijual.

“Fakta ini perlu diperbetulkan. Saya bukan mewakili Gerbang Perdana, saya dilantik sebagai individu dalam PWTC,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

PWTC yang berusia lebih 30 tahun menjadi lokasi berlangsungnya perhimpunan agung Umno setiap tahun, menerima ribuan perwakilan parti itu dari seluruh negara, setiap tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2018.

Gerbang Perdana pernah dikaitkan dengan pembinaan jambatan bengkok ke Singapura lebih 10 tahun lalu, yang kemudian dibatalkan oleh bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas pembatalan projek jambatan baru ke Singapura pada 2006, Gerbang Perdana menuntut pampasan RM360 juta dari Putrajaya. Ia hanya diberikan ganti rugi sebanyak RM247 juta, atas kerja-kerja yang sudah dijalankan sebelum pembatalannya.

Shamsul juga mengesahkan kepada The Malaysian Insight, Yahya dilantik atas kapasiti peribadi.

Menurut Yahya pelantikan beliau dibuat berdasarkan pengalamannya sebagai pengarah urusan Advanced Maintenance Precision Management Sdn. Bhd. (AMPM) yang mempunyai kepakaran dalam menguruskan fasiliti bangunan.

“Saya pengurus fasiliti di bawah syarikat saya AMPM. Jadi di situ saya membekalkan pengalaman dan juga cara-cara untuk mengendali, menyelaras, dan menyempurnakan pengurusan fasiliti dalam sesebuah bangunan.

“Peranan saya sebagai pengurus fasiliti dan PWTC memang sudah ada pasukan mereka. Jadi saya di sini bergabung dengan mereka, staf yang sudah ada untuk bersama-sama membuat penyelenggaraan pada bangunan itu,” katanya.

Umno sebelum ini dilaporkan meminta bantuan Gerbang Perdana untuk menstruktur semula operasi PWTC selepas parti Melayu itu tidak lagi jadi kerajaan sejak pilihan raya umum lalu. Aliran tunai Putrade dilaporkan kritikal selepas Umno kalah PRU14.

Dalam pada itu, Yahya menafikan PWTC sedang berhadapan dengan kesukaran untuk mendekati syarikat pengurusan acara termasuk kementerian dan agensi kerajaan persekutuan untuk menganjurkan program di bangunan tersebut.

Beliau berkata Putrade sudah mempunyai asas yang kukuh dan beliau hanya melakukan penambahbaikan untuk bersaing dengan pusat konvensyen yang lain.

“Cumanya kita kena bekerja keras kerana sekarang ini sudah banyak pusat konvensyen, sangat kompetetif. Kita ada banyak pesaing dengan dewan yang canggih.

“PWTC sudah berusia lebih 30 tahun. Kita perlu posisikan semula kedudukan PWTC untuk menang, untuk dapatkan majlis-majlis terutamanya konvensyen antarabangsa,” katanya. – 27 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen