Pengusaha stesen minyak teruskan rundingan elak rugi


SM Amin

PDAM sebelum ini mencadangkan Mekanisme Jaminan Margin Pengusaha (DGM) di mana sekiranya harga minyak menurun selepas stesen minyak membuat pesanan minyak, syarikat minyak akan membuat bayaran gantian kepada stesen minyak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Disember, 2018.

PENGUSAHA stesen minyak akan terus berunding dengan kerajaan bagi mencari jalan mengurangkan kesan mekanisme baru penetapan harga runcit minyak, kata wakilnya Khairul Annuar Abdul Aziz.

Menurut Khairul, rundingan pihak Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) dengan Kementerian Kewangan hari ini tidak mencapai kata putus, dan rundingan akan diteruskan lagi dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. (KPDNHEP).

“Tadi banyak perkara yang kita setuju, tetapi tanpa kehadiran menteri, pegawai kementerian tidak boleh beri apa-apa komitmen. Perbincangan masih berlangsung.

“Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP, dan KPDNHEP akan panggil kami pula selepas itu. Rasanya dalam dua tiga hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight, tanpa memperincikan butiran perbincangan.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini.

PDAM sebelum ini mencadangkan Mekanisme Jaminan Margin Pengusaha (DGM) di mana sekiranya harga minyak menurun selepas stesen minyak membuat pesanan minyak, syarikat minyak akan membuat bayaran gantian kepada stesen minyak.

Ini bermakna stesen minyak akan mendapat pampasan daripada syarikat minyak sekiranya mereka rugi.

Bagaimanapun sekiranya harga minyak meningkat selepas stesen minyak membuat pesanan, stesen akan membayar bayaran gantian kepada syarikat minyak.

Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2018.

Dengan sistem DGM, margin keuntungan stesen minyak kekal pada 10 sen seliter, tidak kira sama ada harga minyak mentah global meningkat atau menyusut.

Selepas pelarasan semula harga runcit produk petroleum, RON95 dijangka akan ditetapkan pada harga RM1.90, berbanding harga semasa ketika ini RM2.20.

Ini menyebabkan pengusaha-pengusaha stesyen minyak tidak gembira dengan keputusan kerajaan itu kerana mereka bakal mengalami kerugian RM0.20 seliter.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (BUMIPEDA), Abu Samah Bachik sebelum ini menjangkakan pengguna bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari depan.

Abu Samah berkata, kehabisan petrol dan diesel ini disebabkan keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

“Sudah pasti kita tidak mahu menambah simpanan minyak pada penghujung bulan pada harga yang mahal, namun terpaksa jual mengikut kadar lebih murah berkuat kuasa 1 Januari akan datang.

“Jika sebelum ini kerajaan menggunakan sistem apungan harga mengikut bulanan, kita masih boleh beroperasi dengan membuat keuntungan jualan bagi menampung kos operasi.

“Bagaimanapun, keputusan kerajaan menggunakan semula sistem apungan harga bahan api secara mingguan, maka berkuat kuasa 1 Januari ini bakal mencetuskan kerugian kepada pengusaha,” katanya. – 26 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen