KERAJAAN Iraq mengalu-alukan Putrajaya untuk membuka semula kedutaan di negara itu bagi menarik lebih ramai pelajar republik itu ke Malaysia, kata seorang diplomatnya.
Abdul Al Jalik berkata, langkah itu wajar diambil memandangkan Iraq bukan lagi negara yang berisiko susulan siri peperangan dan pemberontakan yang melanda negara itu.
Beliau yang merupakan penasihat kebudayaan Kedutaan Iraq di Malaysia berkata, jumlah pelajar Iraq yang datang ke Malaysia menunjukkan penurunan mendadak daripada 5,500 kepada 3,257 pelajar dalam tempoh lima tahun lepas.
Katanya ketiadaan pejabat kedutaaan Malaysia di Iraq membuatkan pelajar negara itu memohon atau memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Kedutaan Malaysia ditutup pada 2003 dan ia memberi cabaran kepada pelajar kami untuk datang ke negara ini ekoran kekurangan akses dengan pegawai kerajaan Malaysia.
“Kita berharap menerusi kerajaan baharu, mereka akan membuka semula kedutaan di Baghdad. Dengan itu, jumlah pelajar Iraq ke Malaysia akan bertambah,” katanya.
Pelajar Iraq di Malaysia sebelum ini mengadu tentang kesukaran untuk menyambung pelajaran di negara ini susulan peraturan dan syarat yang dikenakan oleh jabatan imigresen.
Mereka mendakwa antara punca kesulitan itu adalah kerana Iraq masih dilihat sebagai negara berisiko tinggi oleh Malaysia ekoran pencerobohan Amerika Syarikat (AS) pada 2003.
Selain itu, pertelagahan antara puak dan ancaman militan Daesh serta kumpulan pengganas lain antara penyumbang faktor tersebut.
Abdul berkata faktor ini masih menjadi penghalang kepada pelajar republik itu yang mahu melanjutkan pengajian di Malaysia walaupun hubungan kedua-dua negara kukuh.
“Ia membuatkan kita (Iraq) seperti berada dalam senarai negara berisiko tinggi, walaupun tidak dinyatakan secara rasmi.
“Sejak 2014, kita tahu tentang kemunkingan disenarai sebagai negara berisiko tinggi disebabkan peperangan yang berlaku, tetapi secara diplomatiknya, kita mempunyai hubungan yang baik dengan Malaysia.”
Disebabkan tiada perkembangan terbaharu mengenai hasrat Malaysia untuk membuka semula kedutaan di Iraq, pelajar negara itu kini meneliti pilihan negara lain untuk melanjutkan pelajaran.
“Ramai pelajar Iraq datang ke Malaysia kerana ia adalah negara Islam, mempunyai universiti bereputasi tinggi, terdapat banyak makanan halal dan disebabkan universiti seperti UM dan UPM berada pada ranking yang tinggi,” katanya. – 26 Disember, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen