Gagal bayar nafkah anak, bekas pemain bola sepak Brazil dihukum penjara


Bekas pemain bola sepak Brazil dan Real Madrid, Roberto Carlos bersalah kerana gagal melunaskan pembayaran nafkah sebanyak kira-kira AS$20,000 kepada bekas isterinya. – Gambar AFP, 24 Ogos, 2017.

BEKAS pemain bola sepak Brazil dan Real Madrid, Roberto Carlos dijatuhi hukuman penjara kerana gagal membayar nafkah anak, lapor agensi berita China Xinhua.

Hakim sebuah mahkamah keluarga di Rio De Janeiro, mendapati Carlos, 44, gagal melunaskan pembayaran nafkah sebanyak 61,000 reais (kira-kira AS$20,000) kepada bekas isteri Barbara Thurler.

Bekas pemain sensasi itu mempunyai sembilan anak, dua daripadanya hasil perkongsian hidup dengan Thurler.

Hakim Mayane de Castro berkata, keluarga bekas isteri menolak cadangan Carlos untuk membayar jumlah tunggakan secara ansuran.

Bagaimanapun menurut peguam Fernando Pittner yang mewakli Carlos, perkara itu boleh diselesaikan tanpa memerlukan anak guamnya masuk penjara.

Carlos, yang pernah beraksi sebanyak 125 kali dengan pasukan kebangsaan Brazil, kini menetap di Sepanyol dan menjadi duta untuk kelab bola sepak Real Madrid. – Bernama, 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen