LEBIH 1,500 orang berhimpun di Dataran Seni, di pusat bandar Klang hari ini menuntut pemecatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dalam tempoh 40 hari.
Himpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) itu juga turut menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ekoran cedera parah selepas berdepan dengan kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, di Seafield.
Kumpulan yang mengenakan pakaian hitam itu berarak ke Dataran Seni dari Masjid Bandar Diraja, Klang selepas solat Asar sambil membawa sepanduk “keadilan untukmu Adib” di sampai melontarkan selawat kepada Nabi Muhammad dan diselang-seli dengan laungan “Allahuakbar”, “Hidup Melayu”, dan “Hidup Islam”.
Sebelum berarak, kumpulan berkenaan turut mengadakan solat jenazah ghaib dan tahlil ringkas buat Muhammad Adib.
Turut kelihatan hadir menyertai himpunan aman itu adalah pelakon Ellie Suriaty Omar dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah.
Presiden Geras Abu Bakar Mohamed dalam ucapannya mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan kerana mendakwa menteri berkaitan perpaduan itu menjadi punca Malaysia menjadi huru-hara.
“Mereka ini kita dah banyak bertolak ansur tapi rupa-rupanya kita ditolak beransur-ansur. Alhamdulillah, sekarang ini saya ingin beritahu kita desak petualangnya, ini Waytha Moorthy, letak jawatan,” katanya, sambil menunjukkan gambar Waytha Moorthy di atas kain rentang.
“Layakkah dia jadi menteri perpaduan? Tidak! Kita ada kontrak sosial, saya harap kita belajar sejarah, baru kita boleh bangkit,” kata Abu Bakar lagi.

Abu Bakar turut berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Yang di-Pertuan Agung Sultan Muhammad V, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tuntutan mereka hari ini.
Memorandum itu antara lain turut menuntut pembelaan terhadap kematian Muhammad Adib dan pemecatan tiga wakil rakyat, iaitu Waytha Morthy, M Kulasegaran, dan V Ganabatirau.
Dalam memorandum berkenaan, Geras turut menggesa agar kontrak sosial dikuatkuasakan.
“Kita mahu kontrak sosial dikuatkuasakan, diceritakan kepada rakyat agar mereka tahu perkara sebenar.
“Kita juga tidak mahu sama ada kumpulan atau organisasi menghina raja-raja Melayu, kita juga tidak mahu mendengar agama Islam dihina dan kita juga tak hina bangsa dan agama lain,” kata Abu Bakar.
Selain itu, Geras juga katanya mahu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) dimansuhkan, selain pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, dan kerajaan pusat mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zamri Mohd Isa dalam ucapannya menggesa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) susulan kematian Adib.
“Perjuangan kita tidak berhenti hari ini. Kita akan hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, kita akan guna undang-undang untuk tubuh RCI siasat kematian Adib.
“Sampai hari ini tidak ada lagi RCI. Kita desak wujudkan RCI. Kita akan terus bangkit dan lawan,” katanya. – 25 Disember, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan