Bekas jeneral Chile berusia 91 tahun dipenjarakan


Seorang lelaki membawa bendera Chile yang diconteng “Pinochet pembunuh” ketika himpunan memperingati kekejaman era pemimpin diktator Augusto Pinochet yang mengorbankan 3,200 rakyat negara itu. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2017.

AHLI keluarga bekas jeneral tentera Chile berkata mahkamah negara itu mengambil tindakan dipenuhi rasa dendam apabila menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap lelaki berusia 91 tahun itu.

Peguam Hector Orosco berkata anak guamnya disahkan nyanyuk tetapi Mahkamah Agung Chile tetap menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya atas kesalahan membunuh.

Orosco bertugas pada era pemimpin kuku besi bekas presiden Augusto Pinochet dan beliau didapati bersalah bulan lalu kerana membunuh dua pemimpin berhaluan kiri pada 1973.

Polis menahan Orosco minggu lalu selepas beliau enggan menjalani hukuman dan dibawa ke penjara Punta Peuco di utara ibu negara.

Pihak pengadilan dalam satu kenyataan berkata Hakim Jaime Arancibia memutuskan Orosco waras dan boleh menjalani hukuman dalam keadaan normal.

Rene, adik lelaki bekas jeneral itu berkata tindakan berkenaan bukan menegakkan keadilan tetapi lebih kepada bersifat balas dendam.

Orosco salah seorang daripada ramai pegawai yang disabitkan bersalah melakukan kekejaman ketika pemerintahan zaman diktator itu.

Kira-kira 3,200 orang disahkan terbunuh atau hilang di bawah pemerintahan Pinochet.

“Negara ini boleh bercakap mengenai perkara itu, tetapi kerajaan tidak akan mengubah pendirian terhadapnya,” kata jurucakap kerajaan Paula Narvaez, merujuk kepada kes Orosco. – AFP, 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen