PERMINTAAN bagi durian Musang King berkembang pesat di China, semakin banyak golongan kaya di sana bersaing untuk melabur dalam ladang durian di Malaysia.
Dalam tempoh lima hingga enam tahun lepas, ahli perniagaan China menyatakan minat untuk membeli saham dalam ladang durian Malaysia, menyertai pelabur sedia ada dari Hong Kong dan Singapura.
Memandangkan warga asing tidak dibenarkan membeli tanah, pelabur mencari rakan kongsi dengan peniaga tempatan untuk membuka ladang dan pusat pemprosesan durian sejuk beku.
Malaysia membekukan durian dan mengeksportnya ke China sejak awal 2011, tetapi sejak 2013, ahli perniagaan China juga melabur di ladang durian tempatan supaya mereka dapat mengawal eksport durian itu sendiri.
Pengusaha dari China, Li Ming sudah menyertai perniagaan itu sejak enam tahun lalu dengan ramalan ia akan menjadi sesuatu yang besar di China, mendorongnya datang ke Malaysia untuk mencari rakan kongsi dan juga membeli beberapa ladang.
“Enam tahun yang lalu, pelaburan di ladang durian tidak setinggi hari ini. Saya membawa lebih RM600,000 dan memulakan perniagaan ladangan durian untuk dieksport ke China kerana durian Malaysia mempunyai rasa lebih sedap berbanding durian Thailand, dan pasaran China sangat menggemari durian,” kata Li.

Li juga berkata ramai ahli perniagaan China sudah melabur di ladang durian Malaysia kerana ini akan memastikan bekalan eksport stabil.
Sementara itu, pengusaha dari Hong Kong, Adrian Choy berkata beliau bekerjasama dengan seorang ahli perniagaan tempatan dan melabur sebanyak RM3 juta dalam ladang durian seluas 80 hektar bersama rakan kongsi tempatan yang sebahagian besarnya bertanggungjawab menguruskan ladang.
Choy juga merupakan seorang daripada pengasas syarikat pengeksport durian Durian BB, yang kini menjalankan perniagaan di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Macau dan China.
Beliau berkata perniagaan durian berisiko kerana ia adalah buah bermusim dan keuntungan bergantung kepada musim ia berbuah. Justeru, ia memerlukan rakan tempatan menguruskan ladang.
Choy berkata perniagaan duriannya bukan hanya untuk memastikan bekalan stabil untuk pasaran Hong Kong, tetapi juga bagi memenuhi permintaan di Macau, Kanada, Singapura dan pasaran China yang lebih besar.
Daripada 1.3 bilion penduduk China, kemungkinan hanya 5% yang pernah mendengar mengenai durian dan hanya 1% yang pernah merasai buahnya, kata beliau.
Katanya, pendudk Hong Kong mungkin lebih biasa dengan durian kerana ramai yang berpeluang menikmatinya ketika bercuti di Malaysia.
“Rakan kongsi perniagaan kami sukakan durian. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk melabur dalam pasaran ini. Durian adalah sesuatu yang biasa dimakan orang Asia, dan kami fikir pelaburan dalam ladang akan memperoleh faedah jangka panjang,” kata Choy. – 25 Disember, 2018.

Komen