TAUFAN Hato mengorbankan 10 orang selepas membadai merentasi selatan China semalam, menggegarkan bangunan tinggi di Hong Kong, menyebabkan jalan dinaiki air dan memaksa ribuan orang mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan.
Hong Kong mengeluarkan amaran taufan paling teruk pada tahap 10, kali ketiga ribut seumpama itu melanda hab kewangan itu dalam tempoh 20 tahun.
Lima orang terbunuh di kawasan kasino di Macau, di mana media tempatan menunjukkan kereta tenggelang dan orang ramai terpaksa meredah banjir di jalan biasa. Kasino mega di bandar itu terpaksa beroperasi menggunakan generator.
Seorang lelaki mati selepas cedera ditimpa tembok, seorang lagi jatuh dari tingkat empat dan seorang pelancong China dilanggar trak, kata kerajaan Macau. Maklumat lanjut dua lagi mangsa masih belum diperoleh.
Ribut kuat itu terdahulu melanda Hong Kong di mana seorang lelaki berusia 83 tahun mati selepas terjatuh ke laut, kata polis.
Lebih 120 mangsa cedera ketika wilayah itu dibadai angin puting beliung dan hujan lebat.
Di wilayah Guangdong selatan China, sekurang-kurangnya empat mati dan 26,817 orang dipindahkan ke pusat perlindungan, lapor agensi berita Xinhua. Hampir dua juta isi rumah mengalami gangguan bekalan elektrik.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku tanah runtuh dan banjir memandangkan ribut taufan itu dijangka terus melanda kawasan tanah besar.
Di Macau, orang ramai berenang melalui air berlumpur di kawasan yang biasanya jalan raya, ketika ada yang lain hampir terbang ditiup angin, berdasarkan rakaman Apple Daily.
Deretan resort kasino Venetian menggunakan bekalan elektrik sokongan dan tanpa penyaman udara serta cahaya lampu yang sempurna, menurut sumber.
“Ramai tetamu yang datang pada musim panas, kebanyakannya terkandas di resort dan kasino utama. Semua pengangkutan, udara, darat dan laut ditangguhkan, jadi tetamu yang sudah mendaftar keluar tidak dapat pulang,” kata seorang kakitangan resort.
Penduduk menggunakan media sosial untuk mengadu mengenai gangguan bekalan elektrik dan rangkaian telefon bimbit yang bermasalah.
Bekalan air juga terhad, kata pihak berkuasa dan 50 penerbangan dibatalkan dari lapangan terbang antarabangsa.
Ribut itu merentasi Hong Kong sehampir 60km dan tiba di Zhuhai, tanah besar China paling selatan pada waktu tengah hari.
Akibat taufan itu, pasaran saham ditutup di wilayah itu yang mempunyai 7.3 juta penduduk, menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan.
Taufan Hato menyebabkan ombak besar menghempas pantai Hong Kong menyebabkan banjir di beberapa kawasan.
Lebih 400 penerbangan dibatalkan dengan syarikat penerbangan utama Hong Kong Cathay Pacific membatalkan semua penerbangannya hingga 5 petang semalam.
Hong Kong biasanya mengalami taufan antara Julai dan Oktober tetapi jarang berlaku taufan melanda terus ke pulau itu.
Pulau itu dilanda taufan terkuat pada 1962 bila taufan Wanda membadai dengan kelajuan 284km sejam direkodkan. Ia membunuh 130 orang dan menyebabkan 72,000 orang kehilangan rumah. – AFP, 24 Ogos, 2017.
Komen