PM tak perlu pecat Waytha Moorthy, kata 211 badan masyarakat


Mohd Farhan Darwis

Wakil gabungan 211 badan masyarakat yang berkumpul di luar Pejabat Perdana Menteri hari ini untuk menyerahkan memorandum menyokong menteri P Waytha Moorthy. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Disember, 2018.

PERDANA menteri tidak perlu memecat P Waytha Moorthy kerana desakan itu dibuat oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan susulan insiden rusuhan kuil Hindu di Subang Jaya, baru-baru ini, kata gabungan 211 badan masyarakat.

Dalam memorandum kepada Dr Mahathir Mohamad hari ini, kumpulan berkenaan berkata pihak yang mendesak menteri di Jabatan Perdana Menteri itu digugurkan hanya mahu mencetuskan kebencian susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim minggu lalu.

“Puak-puak yang meminta Waytha Moorthy letak jawatan tidak beri sebab kukuh. Kami rasa kami perlu beri sokongan kerana beliau tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku. Kita perlu fikir dengan waras dan rasional,” kata peguam Siti Kasim, yang juga jurucakap kumpulan berkenaan.

“Kita harap perdana menteri tidak tunduk kepada tekanan puak yang kami rasa menggunakan kaum dan agama untuk mengeruhkan keadaan negara kita,” katanya, mewakili 50 individu yang berhimpun menyerahkan memorandum berkenaan di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Memorandum diterima setiausaha politik kepada perdana menteri, Abu Bakar Yahya yang memberi jaminan akan menyerahkannya kepada Dr Mahathir.

Memorandum itu antara lain menyatakan, tindakan beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadikan Waytha Moorthy sebagai kambing hitam atas rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield bertujuan mengalih perhatian daripada isu perkauman dan kurang toleransi agama di Malaysia.

“Adalah keji dan memalukan terdapat pihak-pihak tertentu yang memanfaatkan keadaan tragis ini untuk mendorong agenda mereka dalam menegakkan kebencian, ketaksuban, polarisasi politik dan ketegangan etnik.

“Mereka taksub memperjuangkan naratif kononnya rakyat Malaysia tidak mungkin dapat membebaskan diri daripada politik perkauman dan etnik. Ia mencemarkan pengorbanan seorang ahli bomba,” kata memorandum itu.

Siti Kasim berkata, walaupun ada lebih 300,000 individu yang menyokong Waytha Moorthy dipecat melalui petisyen atas talian, ia meragukan kerana petisyen atas talian mudah dimanipulasi.

“Petisyen atas talian boleh dimanipulasi dan tidak boleh dipercayai. Saya boleh buat ratusan emel dan akaun Facebook tapi sebenarnya dibuat orang sama. Ia tidak boleh dipercayai,” katanya.

Siti Kasim turut mengulangi kenyataannya mengecam Syed Saddiq yang katanya patut menjadi menteri untuk semua, bukan Bersatu atau sayap Pemuda parti itu semata-mata.

Wakil gabungan 211 badan masyarakat yang berkumpul di luar Pejabat Perdana Menteri hari ini. Mereka meragui petisyen dalam talian berjumlah 300,000 orang yang dikatakan menyokong pemecatan Waytha Moorthy sebagai menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Disember, 2018.

Memorandum berkenaan turut diserahkan 10 individu orang kelainan upaya (OKU) yang berkerusi roda daripada Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC).

Presiden ILTC, G Francis Siva, berkata kumpulan OKU sepertinya amat berpuas hati dengan prestasi Waytha Moorthy dan beliau tidak seharusnya dipecat atau melepaskan jawatan dalam Kabinet.

“Saya mewakili kumpulan OKU merasakan Waytha Moorthy begitu prihatin dengan komuniti minoriti seperti kami dan kami amat berpuas hati dengan prestasi beliau,” katanya.

Kumpulan NGO itu turut membawa kain rentang dengan kenyataan: “Kami sokong Waytha Moorthy dikekalkan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri”.

Semalam, kira-kira 200 individu mewakili 40 badan masyarakat di Johor menyatakan sokongan mereka kepada Waytha Moorthy, dalam satu mesyuarat anjuran Hindraf Johor bersama gabungan NGO- NGO negeri.

Antara kandungan resolusi yang dipersetujui pada mesyuarat itu termasuklah, Waytha Moorthy meneruskan kedudukannya sebagai menteri dan meminta polis menjalankan siasatan terperinci insiden rusuhan kuil yang mengakibatkan kematian Adib.

Mereka turut menggesa kerajaan tidak tunduk kepada kumpulan ultra, yang mewujudkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia menggunakan bangsa dan agama.

Mereka juga mahu polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.

Pada Jumaat minggu lalu, seramai kira-kira 150 individu daripada Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menyerahkan memorandum kepada perdana menteri mendesak Dr Mahathir memecat Waytha Moorthy. – 24 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen