-2.jpg)
MANA-MANA kerajaan tentu mahu memastikan pertumbuhan ekonomi senantiasa mapan dan berdaya saing, tidak kita dalam apa jua suasana ekonomi.
Namun, tidak semua perancangan itu akan tercapai memandangkan banyak faktor di luar kawalan kerajaan antaranya, perkembangan ekonomi Eropah, China atau Amerika Syarikat yang akan memberi kesan langsung atau tidak langsung terhadap pelaburan pembangunan di peringkat negeri.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, faktor dalam kawalan harus diurus dengan penuh cermat.
Jangan kerana ghairah untuk melihat perubahan, maka segala data-data ramalan pertumbuhan ekonomi (economic forecast) itu di‘usik’ agar kelihatan boleh dicapai dan dilihat “cantik” untuk dilaksanakan.
Antara isu utama yang sedang berlaku di Johor ketika ini khususnya di Wilayah Pembangunan Iskandar ialah isu tawaran premis/perumahan yang berlebihan daripada permintaan atau “oversupply”.
Satu kajian dijalankan oleh UTM pada 2017 dan penemuan tersebut dinyatakan dalam sebuah jurnal kajian hartanah di Johor Bahru.
Beberapa penemuan penting dapat kita baca dan fahami yang masalah ini berpunca daripada harga rumah dan pembiayaan kewangan. Kedua-dua harga rumah dan pembiayaan mencerminkan kemampuan pembeli.
Keterjangkauan perumahan dicapai apabila isi rumah membelanjakan kurang daripada satu pertiga atau 30% daripada pendapatan bulanan kasar untuk perumahan termasuk utiliti.
Oleh itu, rumah berharga di luar kemampuan pembeli akhirnya akan menyebabkan unit rumah tidak terjual.
Pinjaman dengan syarat yang sangat ketat dikenakan oleh institusi kewangan menghalang pembeli membeli rumah dan dengan itu meningkatkan bilangan unit rumah yang belum dijual – oversupply.
Situasi ini seharusnya dalam “radar” kerajaan selaku penggerak utama pelan pembangunan negeri. Tidak semudah itu kita ingin menyalahkan agensi persekutuan atau “orang luar”.
Semasa perancangan ini dibuat, pastinya kerajaan negeri mempunyai perkiraan, baik oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor UPENJ mahupun pihak perunding swasta dan pemaju.
Mereka juga mempunyai data tentang kemampuan pembeli premis/rumah dengan kadar faedah dan syarat pembiaya pembelian iaitu bank.
Maka persoalannya sekarang, adakah perkiraan sebelum ini silap? Jika benar, di mana silapnya? Mengapa silap?
Seperti yang saya nyatakan, adakah ketika merancang projek pembangunan ini, semua data dan perkiraan ini “diusik” agar ia kelihatan betul, munasabah dan cantik?
Hari ini, bekas menteri besar Johor Khaled Nordin menghentam belanjawan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor 2019 dengan menggambarkan seolah-oleh kerajaan hari ini tidak tahu mengurus ekonomi negeri.
Atas sikap seorang demokrat, saya menghormati pendangan beliau selaku bekas ketua eksekutif negeri.
Jasa beliau juga saya kenang. Namun, beliau harus adil dan objektif dalam bercakap mengenai prestasi, usaha dan iltizam kerajaan baharu ini.
Kerajaan PH hari ini baru berumur setahun jagung, tetapi digambarkan dengan sangat jelek. Adakah ini adil bagi seorang tokoh seperti beliau yang banyak jasanya kepada negeri?
Sungguhpun kami baru setahun jagung, namun usaha menggalang reformasi sistem dalam suasana ekonomi yang lembap seperti hari ini, kami tetap komited dan yakin belanjawan 2019 adalah jelas menfokus kepada pembangunan yang bersasar.
Kami tidak menjanjikan projek mega kepada rakyat sepertimana kerajaan terdahulu lakukan, malah sebaliknya kami sedang mengurus bagaimana masalah “oversupply” yang muncul daripada projek mewah dan mega di zaman beliau itu dapat tangani dengan bijak dan cermat oleh kerajaan hari ini.
Masalah seperti ini akan memberi kesan langsung terhadap kesihatan ekonomi tempatan.
Untuk memulihkan keadaan ini, ia bukan sahaja memerlukan masa tetapi suatu perancangan yang teliti dan tuntas.
Meminjam kata-kata Albert Einstein: Kita tidak boleh menyelesaikan masalah dengan cara berfikir yang sama ketika kita menciptanya.
Belanjawan Johor 2019 menfokus untuk memperkukuh daya saing kumpulan penggerak ekonomi tempatan menerusi teras yang disebutkan.
Kami yakin dengan cara ini, kuasa beli rakyat, akan meningkat apabila keupayaan mereka diperkasa. Ini cara kerajaan baharu mengurus dan menggalang pelan pembangunan ekonomi negeri.
Saranan Muhyiddin Yassin agar ditubuhkan suatu jawatankuasa Majlis Ekonomi Johor juga merupakan saranan yang molek.
Jika dapat direalisasikan dalam waktu terdekat, ingin sekali saya mencadangkan agar ketua pembangkang Johor turut dapat menyertainya.
Ia selaras dengan hasrat kerajaan PH untuk membina satu naratif demokrasi yang baharu khususnya di Johor. – 24 Disember, 2018.
* Sheikh ‘Umar Bagharib Ali adalah Adun Paloh merangkap pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen