-2.jpg)
KEMUNCULAN gerakan ekstrem kanan, atau “far right” kini mewarnai pentas politik nasional.
Satu persatu kenyataan yang bersifat ofensif terhadap kesemulajadian kehidupan berbilang kaum, penubuhan organisasi yang didakwa mahu menyelamatkan orang Melayu sehinggalah kepada penyatuan Umno dan PAS merupakan antara petanda besar bahawa politik identiti sedang ligat mundar-mandir dalam kancah permainan aktor politik terutamanya daripada parti pembangkang.
Situasi ini tidaklah mengejutkan oleh kerana prophecy yang dibuat oleh rejim BN yang lalu seolah-olah menyandarkan kepada peristiwa kini, iaitu apabila parti selain BN yang memerintah negara ini, maka akan berlakunya ketidakstabilan, kekucar-kaciran, dan kerencatan keharmonian antara kaum.
Maka, bolehkah kita namakan intelek BN ini sebagai “the next Nostradamus” kerana mempunyai satu tilikan yang seolah-olah benar, seperti mana Huntington menilik keadaan konflik dunia yang berlaku dewasa ini?
Naratif “kanan jauh” ini tidak lebih sekadar mewujudkan satu perasaan yang tidak selamat, kerana kebimbangan bahawa kemungkinan terjadinya peristiwa yang tidak diingini, melibatkan ancaman keganasan fizikal khususnya.
Di Amerika Syarikat, secara umumnya, kewujudan gerakan “kanan jauh” ini lazimnya lebih banyak membawa mudarat berbanding gerakan “kiri jauh”, justeru menjelaskan bahawa mengapa ia merupakan satu kebangkitan yang tidak sihat.
Misalnya, pembunuhan yang dilakukan Ku Klux Klan atau KKK terhadap warganegara Afrika-Amerika merupakan satu kelaziman yang berlaku suatu ketika dulu. Mungkin kita boleh berhujah panjang bahawa ada perbezaan antara supremasi putih dan golongan yang menamakan diri sebagai “Malay supremacy”, namun apa asas yang lebih mustahak untuk dibincangkan berbanding hanya saling melabel antara satu sama lain?
Yang perlu diselidiki ialah mengapa orang Melayu masih berasa gusar dan tidak yakin kepada kerajaan baharu ini, memandangkan statistik pengundian yang lalu menunjukkan 70-75% orang Melayu masih menyokong PAS dan Umno biarpun mempunyai alternatif yang sama dalam komponen PH? Mengapa?
Kebanjiran Kuala Lumpur sempena perhimpunan kesyukuran kerana pembatalan ratifikasi ICERD menjelaskan bahawa kegusaran rakyat Melayu ini merupakan satu perkara yang real dan harus mula diperbincangkan.
Memandangkan kegusaran orang Melayu ini bukanlah satu hal yang terus meledak dan ia berbentuk seperti cantuman kepingan-kepingan puzzle yang mencetuskan kebangkitan “kanan jauh”, saya melihat faktor utama kerisauan ini bermula daripada masalah ekonomi yang tidak selesai-selesai lagi.
Sekiranya kita singkap sejarah sebelum berlakunya Perang Dunia ke-2, kita dapat menyemak kembali bahawa bagaimana Hitler mampu bangkit biarpun suatu ketika pernah dipinggirkan oleh rakyatnya sendiri. Bagaimana Hitler mencemarkan kemuliaan demokrasi yang satu ketika bertanggungjawab mengangkatnya ke tugu fasisme?
Jawapannya adalah kerana tekanan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Jerman pada waktu itu, membuatkan mereka tidak melihat kepada perkara lain selain daripada alternatif segera yang mampu menyelesaikan kekosongan perut mereka.
Maka ternukil dalam sejarah dunia tentang kebangkitan populis fasis yang diketuai oleh Adolf Hitler tersebut. Kemudian, pada 2015, wujud gerakan Pegida (Patriotic Europeans against the Islamisation of the West) iaitu sebuah gerakan ekstremis kanan di Jerman yang mempunyai motif gerakan anti-imigran, meningkat daripada 350 orang pada 2014 kepada 25,000 orang.
Gerakan ini wujud di bahagian Jerman Timur dan untuk pengetahuan umum, kedudukan sosioekonomi di Jerman Timur jauh ketinggalan berbanding Jerman Barat. Di Jerman Timur, €110,000 dikira sebagai kaya berbanding di Barat iaitu sebanyak €240,000 adalah yang paling minimum bagi pengiraan kekayaan seseorang individu.
Ini menjelaskan trend yang serupa tentang masalah ekonomi dan kebangkitan ekstremis kanan.
Jika kita kembali ke konteks Malaysia, khususnya orang Melayu, masih ramai sebenarnya yang memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan. Kekayaan yang dicanang bagi kaum Melayu masih lagi tidak dirasai keseluruhannya kerana adanya penyelewengan yang menyebabkan mereka tidak merasai hasil tersebut secara saksama.
Masalah nelayan, peneroka, petani, orang kampung, dan sebagainya yang boleh kita fikirkan, malah pegawai-pegawai kerajaan bergred rendah sekalipun haruslah diberi pertimbangan untuk dibantu oleh kerajaan.
Mereka ini masih mengharapkan tindakan afirmatif kerajaan untuk membantu mereka, dari sudut kos sara hidup, harga minyak petrol, harga makanan, pekerjaan dan pengangguran, dan sebagainya.
Sewajarnya PH tidak perlu terlalu menekankan kepada hal bersifat pasca kebendaan seperti alam sekitar, kebebasan sivil, demokrasi, semak dan imbang dan hal lain yang tidak mengenyangkan rakyat secara langsung selagi hal ehwal kebendaan ini masih belum selesai untuk dipenuhi.
Bukanlah hal itu tidak penting, namun ada darjah keutamaan yang lebih wajib untuk diselesaikan berbanding hal-hal tersebut.
Sebelum kerajaan mula mengatakan bahawa “Melayu ini malas”, sepatutnya perlu disemak dulu bilangan pelajar Melayu yang bekerja sambilan sebagai penghantar, pekerja kerajaan yang membuat perniagaan atas talian, pemandu lori yang siangnya memandu lori malam harinya berniaga burger,atau pekerja swasta Melayu yang saban hari mengejar komisen untuk hidup mandiri.
Rakyat sudah puas dipersalahkan; kini wajar menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat.
Semoga di samping agenda reformasi pentadbiran, ia tidak menghambat sekali keyakinan rakyat kepada pimpinan kerajaan yang baharu ini.
Berpijaklah di bumi yang pragmatis dan tidak mendongak bila kaki sudah menjejak di langit. – 24 Disember, 2018.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen