Ribuan etnik Rohingya lari ke Bangladesh kerana ancaman tentera Myanmar


Sebahagian daripada riuan etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh berikutan kerahan tentera Myanmar ke negeri itu dan ancaman masyarakat Buddha setempat. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2017.

RIBUAN etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas Myanmar mengumumkan penambahan tentera ke negeri Rakhine awal bulan ini, kata pemimpin komuniti pada Rabu.

Rakhine yang terletak di utara Myanmar dicengkam keganasan sejak Oktober apabila militan didakwa menyerang pondok polis.

Serangan itu membuatkan pasukan tentera mengadakan operasi besar-besaran yang dipercayai Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penghapusan etnik Rohingya, iaitu masyarakat Islam minoriti yang tinggal di Myanmar.

Pada 12 Ogos, pihak berkuasa Myanmar berkata ratusan anggota tentera dikerah ke Rakhine bagi menumpaskan pemberontak.

Pemimpin pelarian Rohingya di Bangladesh memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 3,500 orang tiba di negara itu sejak konflik tercetus hingga menimbulkan tekanan terhadap jumlah pelarian yang semakin ramai.

Ia berikutan pasukan peronda Bangladesh meningkatkan rondaan dan memperketatkan kawalan sempadan.

Pada minggu ini, pasukan peronda sempadan Bangladesh dikatakan menolak semula bot yang membawa 31 pelarian Rohingya termasuk kanak-kanak ke laut.

“Di kem Balukhali sahaja, seramai 3,000 pelarian tiba dari kampung mereka di Rakhine,” kata Abdul Khaleq, merujuk kepada sebuah kem berhampiran sungai yang menjadi tempat tinggal pelarian yang baru sampai ke negara itu.

Sementara itu, seorang warga emas Rohingya yang tinggal di kem berlainan berkata, hampir 700 keluarga tiba di Bangladesh sejak 11 hari lalu.

Kebanyakan mereka tinggal di tempat terbuka kerana tiada ruang di kem berkenaan, katanya.

Mohammad Omar berusia 28 tahun yang baru tiba bersama 40 saudaranya berkata, dia diserang oleh masyarakat Buddha tempatan yang turut memusnahkan kediaman mereka di Rakhine.

Myanmar yang majoritinya beragama Buddha berdepan kritikan sejak sekian lama kerana layanan mereka terhadap lebih sejuta etnik Rohingya yang tinggal di Rakhine yang dilihat sebagai pemastauti daripada Bangladesh, dinafikan kerakyatan dan akses kepada hak asas.

Dhaka menganggarkan hampir 400,000 pelarian Rohingya tinggal di kem pelarian dan membina penempatan sementara di Cox Bazar. – AFP, 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen