Peneroka mahu kerajaan selesai masalah kos sara hidup


Mohd Farhan Darwis

Selain kejatuhan harga kelapa sawit dan getah, peneroka Felda di seluruh Malaysia kini menanggung isu kos sara hidup yang meningkat dan hutang kepada agensi itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Disember, 2018.

PENEROKA Felda Mohd Zaini Hamdan menanggung hidup keluarganya sepanjang hampir lima dekad lalu dengan hasil jualan kelapa sawit dari tanah seluas 10 ekar yang diberikan kepadanya oleh agensi itu sejak beliau datang ke Felda Sungai Tengi di Kuala Kubu Bharu, Selangor sejak 25 September 1972.

Namun kejatuhan berterusan harga komoditi itu kini membuatkan ayah 13 anak itu kini runsing. Kelapa sawit pada April lalu berharga lebih kurang RM500 setan tetapi sekarang jatuh ke paras sekitar RM330 setan, dan dijangka akan terus jatuh.

Setiap bulan Zaini, 72, perlu menyediakan kira-kira 60kg beras untuk lapan ahli keluarga yang masih tinggal bersamanya, tidak termasuk makanan basah dan perbelanjaan lain, seperti perbelanjaan sekolah anak-anak.

Malah, dengan kos upah memetik kelapa sawit sekitar RM100 setan, ditambah kos pengangkutan RM70, peneroka sepertinya perlu menggunakan duit poket sendiri jika mahu memetik kelapa sawit di ladang mereka.

“Lebih baik saya biar buah kelapa sawit busuk dekat pokok. Kalau petik pun tak pulang modal. Upah potong, lori, kena pakai duit sendiri. Tak perlu kita fikir baja pokok macam ini,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Beliau ditemui dalam program bersama bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin di Felda Sungai Tengi, semalam.

“Lebih-lebih lagi nak naik sekolah minggu depan, masing-masing kami peneroka yang ada anak sekolah pening kepala,” katanya.

Peneroka-peneroka yang menghadiri program bersama bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin di Felda Sungai Tengi, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Disember, 2018.

Zaini adalah antara 38,000 peneroka Felda seluruh negara yang menerima bantuan sara hidup agensi berkenaan.

Peneroka seperti Zaini menerima antara RM800 hingga RM1,000 sebulan sebagai bantuan sara hidup selepas menyerahkan ladang kepada syarikat Felda Technoplant Sdn Bhd untuk diuruskan.

Bayaran itu adalah pinjaman yang perlu dilunaskan dengan menggunakan hasil diperolehi daripada ladang peneroka.

Zaini berkata, bayaran yang sepatutnya diberikan pada 21 haribulan setiap bulan mula tertunggak selepas kerajaan bertukar Mei lalu.

“Lepas kerajaan baru, bayaran mula tertunggak. Kami nasib baik cuma tertunggak sebulan. Ada peneroka negeri lain tertunggak dua atau tiga bulan,” kata Zaini. 

“Begini gayanya, yang dulu (kerajaan Barisan Nasional) 10 kali lebih baik, sekarang makin terseksa,” kata Zaini.

Siapa pun kerajaan, peneroka rasa sengsara

Selain kejatuhan harga kelapa sawit dan getah, peneroka Felda di seluruh Malaysia kini menanggung isu kos sara hidup yang meningkat dan hutang kepada agensi itu.

Mereka melihat pertukaran kerajaan daripada BN kepada Pakatan Harapan (PH) tidak mengubah kehidupan seharian mereka.

“Politiknya kerajaan ini semua sama… 2 kali 5, 5 kali 2. Perbezaan ketaranya, kerajaan baru ini lagi dahsyat, duit sara hidup peneroka pun tak mampu bayar,” kata Nasir Md Dan, 77.

“Kami ada tanah 10 ekar, tapi tak cukup makan, betulkah begitu? 

“Bagi saya dasar Felda itu sudah cukup baik, tetapi pemimpin di peringkat atas itu haram jadah,” kata peneroka daripada Felda Soeharto itu, yang ditemui dalam majlis sama.

Zainuddin Mat Naan, 60, berkata, kelemahan pengurusan ladang dan hutang peneroka mengakibatkan mereka terjerat belenggu hutang yang besar.

Ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan rancangan (JKKR) dari Felda Soeharto itu berkata, pihaknya kecewa kerana kerajaan hanya pandai berjanji tapi gagal melaksanakan janji.

“Sejak zaman BN saya sudah bantai Felda. Saya pernah menjadi anggota badan pemikir untuk selesaikan isu Felda, ketika itu dibentuk oleh timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim. 

“Kita beri buah fikiran, senaraikan masalah, kemudian dibawa kepada pihak lain untuk dinilai, dan akhirnya cari jalan penyelesaian. Apa hasil? Habuk,” katanya.

Zainuddin Mat Naan, 60, berkata, kelemahan pengurusan ladang dan hutang peneroka mengakibatkan mereka terjerat belenggu hutang yang besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Disember, 2018.

Zainuddin berkata, peneroka seperti beliau yang dibebani hutang sehingga RM160,000 kini tidak lagi mampu bertahan dan putus harapan dengan pentadbiran kerajaan.

“Hapraknya (bekas Perdana Menteri) Najib (Razak) yang kita kata dia penyamun, penyangak, dia bagi bantuan, bagi bonus akhir tahun, bagi bantuan awal persekolahan kepada peneroka.

“Bagusnya (Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad) hari ini, haram semua itu tidak dibaginya,” kata Zainuddin.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bantuan awal persekolahan RM100 untuk setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dalam kalangan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 yang akan diagihkan melalui sekolah Januari ini.

Kerajaan juga mengumumkan peruntukan khas RM77 juta bagi membantu peneroka Felda melunaskan bayaran tertunggak bagi tahun ini, atas arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dia juga berkata, sekiranya Felda tidak lagi mampu menguruskan ladang dengan baik, ia perlu dikembalikan kepada peneroka untuk diuruskan sendiri.

“Tetapi dengan syarat, lupuskan hutang. Kalau ladang tidak keluar hasil, macam mana nak bayar hutang. RM160,000 hutang saya ini, anak, cucu, cicit pun tak mampu bayar,” katanya.

Penasihat ekonomi kepada Dr Mahathir Mahamd, Daim Zainduddin, sedang dalam rangka jelajah bertemu peneroka Felda untuk menyelami masalah mereka dan membincangkan jalan penyelesaian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Disember, 2018.

Felda usaha cari penyelesaian

Daim, yang merupakan penasihat ekonomi kepada Dr Mahathir sedang dalam rangka jelajah bertemu peneroka Felda untuk menyelami masalah mereka dan membincangkan jalan penyelesaian.

Antara cadangannya ialah untuk peneroka mengoptimumkan penggunaan tanah dengan mempelbagaikan hasil supaya mampu menampung kehidupan berikutan kejatuhan harga komoditi.

“Peneroka boleh ternak ikan, lembu, kambing, atau tanam tanaman yang cepat keluarkan hasil seperti timun dan cili,” katanya. 

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda Mazlan Aliman berkata, agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengenal pasti tanaman kontan yang mampu menjana hasil yang cepat buat peneroka.

“Hasil keputusan Kabinet, Peladang dan Mardi dipertanggungjawabkan untuk mencari jalan menyelesaikan masalah peneroka dan pekebun kecil susulan kejatuhan harga komoditi,” kata Mazlan, yang juga merupakan pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (Peladang).

Katanya, antara kaedah yang turut dicadangkan ialah melalui meningkatkan industri hiliran daripada produk kelapa sawit, seperti makanan untuk binatang ternakan. – 23 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen