Rakyat muak dengar kerajaan merungut, kata Daim


Mohd Farhan Darwis

Penasihat kerajaan Daim Zainuddin ketika berucap dalam pertemuan bersama peneroka di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2018.

KERAJAAN perlu berhenti merungut berhubung status hutang dan masalah  negara jika tidak mahu ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang, kata penasihat kerajaan Daim Zainuddin.

Katanya, rakyat sudah muak mendengar kerajaan bercerita tentang masalah negara sedangkan mereka dihimpit kenaikan kos sara hidup dan pendapatan yang semakin berkurangan.

“Saya janji kita akan tunaikan janji ini. Kita tidak mahu lagi dengar masalah, cari macam mana nak selesaikan masalah, sekarang soal pendapatan sudah kurang. Kita rakyat tak mahu dengar masalah. 

“Kalau mahu masalah kita pilih kerajaan lama, tapi sekarang kita zaman pemimpin beramanah,” kata Daim ketika berucap dalam pertemuan bersama peneroka di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor.

Daim juga berkata, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian segera untuk membantu warga Felda, yang menanggung kejatuhan mendadak harga komoditi kelapa sawit dan getah.

Katanya, peneroka berhak memilih kerajaan baharu jika Pakatan Harapan tidak mampu menyelesaikan masalah golongan itu.

“Kita tidak boleh tunggu dua tahun, cari penyelesaian secepat mungkin. Kita mesti utamakan rakyat. Kita tidak mahu kata tidak ada duit.

“Kalau kerajaan tidak bela tuan-tuan, pilihan raya umum depan tuan-tuan akan tukar kerajaan. Ini memang hak rakyat. 

“Mereka akan pilih kerajaan baru untuk bela rakyat, kalau kerajaan tidak bela rakyat, orang lain akan bela rakyat,” kata Daim.

Kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian segera untuk membantu warga Felda, yang menanggung kejatuhan mendadak harga komoditi kelapa sawit dan getah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2018.

Beliau juga percaya orang Melayu bukan pemalas tetapi golongan yang rajin bekerja sekiranya diberi peluang.

“Yang penting kejayaan, bila kita berjaya, hasil banyak, orang lain akan turut… Kebanyakan orang kata Melayu malas. Melayu lama malas tapi Melayu sekarang tak malas. 

“Saya sendiri sekarang tanam durian, tanam rambutan, bela ikan, nak tunjukkan kepada orang, Melayu boleh buat,” kata Daim.

Beliau sehubungan itu menggesa pihak berkenaan mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi peneroka dengan segera dengan mempergiatkan lagi kajian untuk mengusahakan tanaman lain.

Katanya, peneroka tidak boleh bergantung kepada tanaman sawit semata-mata.

“Felda ada tanah cuma kena buat kajian. Kalau di sini nanas tak boleh mesti benda lain boleh, yang penting sekarang buat kajian supaya hasil tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada getah dan sawit. 

“Kita mesti pelbagaikan, bela kambing, lembu, ikan, dan sebagainya.

“Sekarang kita lihat bila lagi besar organisasi lagi tak berjaya, jadi kita akan buat kajian supaya tidak berlaku lagi,” katanya.

Sebahagian peneroka yang hadir pada sesi pertemuan bersama penasihat kerajaan Daim Zainuddin di Felda Sungai Tengi, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2018.

Daim juga berkata, kegagalan Felda hari ini juga berpunca daripada sikap pemimpin lama yang tidak amanah dan menyebabkan peneroka sebagai mangsa.

Oleh itu peneroka harus memberikan kepercayaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membantu mereka, katanya.

“Percayalah kepada Dr Mahathir, kita akan pulihkan Felda kepada masa cemerlang dahulu. Kerajaan ini akan buktikan setiap janji akan kita tunaikan. 

“Tapi sabar sikit. Kita akan cari jalan. Ini tanggungjawab kerajaan. Kita yang dipilih ada tanggungjawab kepada anda semua,” kata Daim lagi.

Kawasan Felda ini merupakan lokasi kunjungannya yang pertama dalam siri jelajah ke gugusan tanah rancangan di seluruh negara.

Felda Sungai Tengi termasuk dalam gugusan Felda Trolak yang turut merangkumi tanah rancangan Sungai Tengi Selatan, Soeharto dan Gedangsa.

Jelajah itu dimulakan serentak dengan langkah kerajaan mengumumkan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.

Seorang peneroka berkata sesuatu pada rakannya ketika menghadiri sesi pertemuan dengan penasihat kerajaan Daim Zainuddin di Felda Sungai Tengi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2018.

Pada hari ini, kerajaan mengumumkan bantuan RM100 untuk setiap anak yang bersekolah bagi keluarga berpendapatan bawah RM3,000.

Semalam, kerajaan mengumumkan bantuan RM600 kepada pengusaha kecil getah Risda, yang akan dibayar dalam dua peringkat untuk menampung perbelanjaan di musim tengkujuh.

Sehari sebelumnya, bantuan untuk peneroka Felda diumumkan berjumlah RM77 juta bagi membantu sara diri dan melunaskan bayaran tertunggak golongan berkenaan.

Ia dijalankan susulan arahan Dr Mahathir agar kerajaan membantu golongan tersebut bagi menampung kenaikan kos sara hidup.

Penganalisis melihat kegelisahan masyarakat itu ke atas isu ekonomi dieksploitasi parti pembangkang Melayu-Islam PAS dan Umno untuk mengadakan protes seperti demonstrasi besar pada 8 Disember.

Turut hadir dalam program hari ini adalah Pengerusi Felda Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda Mazlan Aliman serta dan Adun Hulu Kelang Saari Sungib. – 22 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sangat setuju dengan Daim. Janji PH mesti cari jalan segera tunai janji BUKAN cari jalan mempersalahkan BN yang sudah dihukum oleh rakyat. Rakyat tuntut janji untuk kehidupan yang lebih baik TETAPI kini PH terlalu banyak cari KESALAHAN KERAJAAN TERDAHULU. PERCAYALAH ORANG MELAYU KINI AMAT BERSIMPATI DENGAN XPM NAJIB TERLALU "DIAIBKAN" .Ingatlah jangan sampai ALLAH MURKA sehingga Malaysia dilanda "SUNAMI EKONOMI".

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan