Dr Mahathir tak perlu sinis


PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya memandang sinis pandangan Rafizi Ramli tentang populariti beliau yang menurun kerana ia melibatkan prestasi kerajaan Persekutuan.

Dr Mahathir perlu menerima pandangan Rafizi sebagai sesuatu yang positif kerana kajian beliau mampu membantu kerajaan dalam usaha memperkukuh sokongan rakyat khususnya orang melayu.

Terdapat kebimbangan sokongan kaum melayu terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan perkara ini perlu ditangani dengan bijak.

Pandangan Rafizi berdasarkan kaji selidik bulanan yang dijalankan mendapati populariti perdana menteri menjunam sebanyak 19% kepada 53% berbanding 72% pada Jun tahun ini.

Terdapat penurunan mendadak sebanyak 20% di kalangan responden dari ketiga-tiga kaum – Melayu (dari 66% kepada 45%), Cina (dari 87% kepada 65%) dan India (dari 84% kepada 64%).

Tentunya penurunan populariti ini bukanlah perkara yang baik untuk PH dan kerajaan perlu lebih fokus dalam menunaikan janji-janji kepada rakyat khususnya dalam memperkemas keselesaan rakyat.

Saya berpandangan isu penghijrahan Umno secara beramai-ramai kepada PH menyumbang kepada kadar penurunan populariti tersebut.

Rakyat telah membuat keputusan berani dengan menolak rejim Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu. 

Tentunya dengan menerima masuk wakil rakyat Umno yang melompat akan mencetuskan kebimbangan dikalangan rakyat bahawa PH sedang mengkhianati mandat yang diberikan.Oleh yang demikian Majlis Presiden PH perlu membuat ketetapan berkaitan isu penghijrahan Umno untuk meredakan kebimbangan umum.

Justeru, saya menyeru semua pihak untuk berlapang dada dan menerima pandangan Rafizi sebagai sesuatu yang boleh memperbaiki prestasi kerajaan PH. – 22 Disember, 2018.

* Syed Badli Shah Syed Osman adalah naib ketua Pemuda PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen