Saranan dakwah oleh menteri disalah erti


PERTUBUHAN Ikram Sarawak mengikuti kebimbangan beberapa pihak mengenai kenyataan menteri pendidikan di Dewan Rakyat yang menyarankan guru-guru agama tidak segera pulang ke Semenanjung, sebaliknya kekal berkhidmat di Sabah dan Sarawak dan menjadikannya sebagai medan dakwah dan tempat untuk menabur bakti.

Ini memandangkan jumlah guru agama yang amat tidak mencukupi di Sabah dan Sarawak. Kenyataan berkenaan adalah bagi menjawab soalan YB Kubang Kerian yang bertanyakan tentang kekurangan guru-guru agama di Sabah dan Sarawak.

Ikram Sarawak menyokong saranan menteri mengenai langkah berkenaan sebagai langkah sementara bagi mengatasi kekurangan guru agama di Sabah dan Sarawak yang kini kritikal merujuk hansard Dewan Rakyat.

Ikram Sarawak melihat keperluan segera untuk pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengusahakan sasaran 90% guru anak jati Sarawak yang pernah dicadangkan oleh pihak kerajaan negeri sebelum ini. 

Ia merupakan langkah positif ke arah membangunkan modal insan Sarawak dengan sumbangan anak tempatan.

Ikram Sarawak mencadangkan agar pihak berwajib perlu melihat data graduan bidang Pendidikan Islam tempatan yang boleh ditawarkan sebagai Guru Pendidikan Islam dengan latihan berterusan di IPG, IPT mahupun institusi latihan lain untuk menjamin kualiti sebagai guru. 

Ikram Sarawak melihat respons beberapa pihak mengenai kenyataan menteri berkaitan ‘medan dakwah’ adalah suatu yang tidak difahami secara konteks kenyataan berkenaan.

Dakwah hakikatnya adalah usaha memperbaiki (islah) agar negeri dan negara menjadi sejahtera. 

Negeri dan negara yang aman serta sejahtera adalah impian semua rakyat. Memandangkan negara berhadapan dengan pelbagai masalah akhlak dan keruntuhan moral di peringkat rumah tangga, sekolah, tempat kerja, sosial dan media, usaha dakwah harus diberi sokongan oleh semua pihak. 

Ikram Sarawak menyarankan pihak berkepentingan sama ada ahli politik, ahli agama mahupun mana-mana pihak untuk lebih berhati-hati menyuarakan pandangan umum khususnya dalam konteks Sarawak yang hidup dalam kemajmukan. 

Ikram Sarawak juga berharap, kenyataan menteri tidak dipolemikkan untuk kepentingan tertentu memandangkan kenyataan terkini oleh menteri menyatakan kenyataannya mengenai konsep dakwah telah disalah fahami.  

Ikram Sarawak juga bersedia untuk berbincang atau berdiskusi dengan mana-mana pihak mengenai kekeliruan terhadap konsep dakwah yang sebenar. 

Akhirnya, Ikram Sarawak menyeru agar semua pihak untuk bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan isu ini. Keharmonian Sarawak dan Malaysia perlu menjadi teras keutamaan semua pihak. – 22 Disember, 2018.

* Mohd Salleh Hamdin adalah Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Sarawak.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen