PEMIMPIN pembangkang Iran sudah “dilindungi” menerusi tahanan rumah selama enam tahun dan akan menyesal apabila menghadapi perbicaraan, kata ketua mahkamah pada Rabu, berikutan gesaan mereka untuk dibawa ke muka pengadilan.
“Perbicaraan akan membawa kepada penyesalan kepada mereka..kerana mahkamah dan sistem ini tidak main-main dengan sesiapa dan menjalankan tugas dengan penuh keazaman, kuasa dan ketepatan,” kata ketua Mahkamah Revolusi Iran, Mousa Ghazanfarabadi.
Dipetik sebagai berkata oleh laman berita Dana, beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada permintaan bekas calon presiden Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi untuk dibicarakan kerana penyertaan mereka dalam bantahan Gerakan Hijau pada 2009.
Bantahan itu – dikenali sebagai “hasutan” – adalah berikutan dakwaan penipuan pada pilihan raya pada tahun itu, di mana mereka tewas kepada Mahmoud Ahmadinejad.
Mereka dikenakan perintah tahanan rumah pada awal 2011 namun tidak pernah didakwa atas tuduhan jenayah.
“Di bawah tahanan rumah, mereka dilindungi dan dijaga,” kata Ghazanfarabadi.
Karroubi sebelum ini pernah mengadakan mogok lapar bagi menuntut perbicaraan dan mengeluarkan ejen perisik yang diletakkan di rumahnya. – AFP, 23 Ogos, 2017.
Komen