Tiga maut selepas taufan landa hab perjudian Macau


Keadaan jalan raya di Hong Kong yang dinaiki air dan dipenuhi sampah serta pokok patah selepas dilanda taufan Hato sebelum ia menuju ke Macau. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2017.

TIGA maut selepas taufan Hato melanda hab perjudian di Macau pada Rabu menyebabkan kemusnahan di wilayah itu selepas melanda Hong Kong.

Media tempatan menunjukkan keadaan banjir menyebabkan banyak kenderaan tenggelam dan ada yang berenang di kawasan tengah bandar Macau.

Tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 65 tahun itu maut, menurut kerajaan Macau, manakala dua lagi dilaporkan hilang.

Salah seorang mangsa terbunuh selepas dihempap dinding bangunan yang runtuh akibat angin kuat, seorang lagi terjatuh dari tingkat empat kediamannya manakala seorang lagi yang merupakan pelancong dari China maut akibat dirempuh lori.

Apple Daily menunjukkan rakaman orang berenang merentasi air berlumpur yang sebelum ini adalah jalan raya serta yang terjatuh akibat ditiup angin kencang.

Pusat peranginan perjudian Venetian turut mengalami masalah bekalan elektrik terputus dan tanpa pendingan hawa serta lampu, kata seorang individu.

Salah seorang pekerja pusat  pelancongan Sands berkata bekalan elektrik terputus di seluruh Macau namun semakin pulih.

“Oleh kerana ramai tetamu datang pada musim panas, kebanyakan mereka terperangkap di pusat peranginan dan kasino.

“Semua pengangkutan darat udara dan laut dihentikan operasi sementara, jadi pelanggan yang sudah daftar keluar tidak dapat meninggalkan hotel,” katanya. – AFP, 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen