Lima orang awam maut dalam serangan pengebom bunuh diri Taliban


Serangan pengebom bunuh diri dalam pergolakan di Afghanistan mengorbankan ribuan nyawa orang awam terutamanya kanak-kanak dan wanita.– Gambar EPA, 23 Ogos, 2017.

SERANGAN pengebom bunuh diri Taliban menyebabkan lima orang awam terbunuh dan ramai agi cedera kebanyakannya kanak-kanak, selepas suspek meletupkan sebuah kereta yang dipenuhi bahan letupan di ibu pejabat polis selatan Afghanistan pada Rabu.

Ia merupakan serangan terbesar pemberontak sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan beliau sedang menghantar tentera AS ke negara bergolak itu.

“Pengebom bunuh diri itu meletupkan sebuah kereta yang dipenuhi bahan letupan berhampiran ibu pejabat polis di Lashkar Gah, kata jurucakap gabenor daerah Helmand, Omar Zhwak kepada AFP.

“Hasil siasatan awal mendapati lima orang awam terbunuh manakala 25 lagi cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak,” tambahnya.

Tempat letak kereta dipenuhi orang awam yang beratur untuk memasuki ibu pejabat polis ketika letupan itu berlaku, kata Zhwak.

Tambah beliau, sebuah masjid berdekatan yang digunakan sebagai madrasah atau sekolah pengajian agama turut mengalami kerosakan dan terdapat kanak-kanak yang sedang belajar ketika kejadian.

“Kami menerima 38 orang yang cedera kebanyakannya pelajar sekolah dan lima kematian termasuk dua wanita dan dua anggota tentera,” kata pengarah hospital di Helmand, Mauladad Tabihdad kepada AFP.

Serangan itu berlaku kurang 24 jam selepas Trump membenarkan ribuan lagi anggota tentera AS ke Afghanistan, berbeza dengan kenyataan sebelum ini untuk menarik balik anggota tenteranya.

Taliban turut mengarahkan penarikan balik tentera asing berikutan pengumuman Trump itu dan berikrar untuk menjadikan negara bergolak itu sebagai perkuburan tentera AS.

Taliban turut mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dalam satu mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada wartawan.

“Kami menyasarkan kereta perisai tentera, dan membunuh ramai anggotanya,” menurut mesej itu.

Orang awam di Afghanistan menerima padah berikutan pergolakan selama 16 tahun dalam peperangan yang diketuai AS. – AFP, 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen