SERAMAI kira-kira 150 orang berhimpun di Putrajaya menuntut Dr Mahathir Mohamad memecat dua menteri dan seorang anggota exco Selangor atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya yang memimpin perhimpunan di hadapan Masjid Putra itu juga mendakwa menteri dan exco berkenaan mencetus ketegangan kaum.
Dua menteri dimaksudkan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, dan exco yang disasarkan adalah V Gabanatirau.
“Inilah manusia yang menjadi sebab kita jadi huru-hara. Kematian Adib adalah kerana sikap mereka.
“Kita tuntut keadilan. Kita nak mereka yang terlibat dalam memukul Adib dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” kata Aminuddin dalam ucapannya di perhimpunan selepas solat Jumaat itu.
Tiga pemimpim kerajaan itu menerima kritikan dari pembangkang Melayu dan NGO atas kenyataan awal yang mempersoalkan tindakan polis semasa rusuhan itu meletus pada 26 November.
Pemimpin berkenaan juga dikritik kerana didakwa tidak berusaha untuk menenangkan kumpulan masyarakat yang terlibat dalam rusuhan terbabit.
Aminuddin seterusnya mendesak agar Waytha Moorthy meminta maaf atas kenyataan terbabit.
“Dia kata polis lambat bertindak. Kita nak perdana menteri tangkap mereka yang terlibat dan bawa ke muka pengadilan.
Menurut Aminuddin, Ummah sudah mengumpul banyak tandatangan petisyen orang ramai yang meminta Dr Mahathir memecat wakil rakyat berkenaan.
“Ada 300,000 orang minta Waytha Moorthy letak jawatan dalam petisyen atas talian kita, Jangan pandang ringan dan enteng kehendak rakyat ini,” katanya.
Aminuddin seterusnya memimpin kira-kira 100 penyokongnya berarak ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum mendesak pemecatan wakil-wakil rakyat tersebut.
Kumpulan berkenaan yang dikawal rapi pihak polis dan Unit Amal PAS, turut melaungkan takbir dan slogan “Hidup Islam”, “Bangkit Melayu” dan “Keadilan untuk Adib” sepanjang perarakan kira-kira 500 meter itu.
Aminuddin diberikan kebenaran memasuki komplek Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menyerahkan memorandum mereka bersama beberapa pemimpin NGO.
Turut berucap adalah pemimpin NGO Kongres Rakyat Kamaruzzaman Mohamad yang mendakwa kes seperti itu akan berterusan jika menteri terbabit terus memegang jawatan.
“Bagaimana kerajaan boleh biarkan tindakan membunuh penjawat awam ini dibiarkan. Kita mahu kerajaan ambil tindakan, dan sekat perkara seperti ini terus berlaku.
“Jika menteri ini, Waytha Moorthy, Kulasegaran, dan Ganabatirau, terus berada dalam kerajaan, perkara seperti ini akan terus berlaku,” katanya.
Terdahulu sebelum memulakan perhimpunan, kumpulan berkenaan turut mengadakan tahlil ringkas untuk Allahyarham Muhammad Adib.
Anggota bomba itu meninggal dunia Isnin lalu selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat kecederaan semasa menyertai operasi ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada.
Pasukan bomba percaya anggota berusia 24 tahun itu cedera parah akibat dipukul oleh perusuh semasa operasi.
Polis yang mengklasifikasi kes tersebut sebagai kes bunuh setakat ini belum berjaya membawa mana-mana individu untuk dihadapkan ke muka pengadilan. – 21 Disember, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan