Pemimpin Umno tidak harus melompat, tetapi perlu membina parti 


AKTIVITI melompat dapat membakar atau menghilangkan sesuatu. Jika dirujuk pakar, individu yang melakukan aktiviti lompat tali selama 30 minit boleh membakar 300 kalori.

Tetapi, kebaikan aktiviti melompat parti ini masih tidak dikenal pasti. Apa yang penting, aktiviti lompat parti ini dilihat dapat membakar dan menghilangkan sesuatu iaitu: membakar kemarahan dan menghilangkan kepercayaan rakyat. 

Seharusnya Umno sudah berhenti melompat dan kini perlu membina semula parti demi kestabilan negara. Umno harus sedar zaman survival dalam politik Malaysia sudah berakhir dan tiba masa memikirkan kaedah untuk kekal ‘relevan’ di mata rakyat. Peluang sebagai pembangkang harus dipandang positif untuk mengembalikan Umno dan Barisan Nasional (BN). 

Dengan peralihan tugas presiden Umno kepada Mohamad Hasan beberapa hari yang lalu, saya ingin mencadangkan tiga perkara yang mungkin boleh dipertimbangkan Umno untuk terus kekal relevan iaitu dalam menempuh fasa mencabar di bawah Pakatan Harapan (PH). 

Model pentadbiran negeri telus dan cekap

Umno harus sedar bahawa mereka memerlukan model urus tadbir yang cekap dalam pentadbiran dan ekonomi untuk  kekal relevan. Salah satu kaedahnya adalah dengan mentadbir Pahang dan Perlis dengan telus dan berhemah. 

Kita menyaksikan kemelut ekonomi dan kewangan Pahang kerana dengan kerajaan persekutuan sebanyak RM3 bilion pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Jika Umno serius, maka kepakaran dan pengalaman memerintah kerajaan pusat boleh membantu dalam menguruskan masalah tersebut. Peluang seperti ini mampu mewujudkan persaingan sihat antara negeri-negeri dibawah PH dan PAS. 

Umno pernah membuktikan mereka mampu mentadbir negeri dengan baik ketika merampas kerajaan Terengganu daripada PAS pada 2004. Peristiwa ini menjadi bualan pelbagai pihak dan kerjasama erat pemimpin waktu itu merupakan faktor utama Umno berjaya menawan Terengganu. 

Dalam tempoh dua penggal, Terengganu di bawah Umno menempa nama, khususnya dalam pencapaian akademik di kebangsaan dibawah Idris Jusoh. Tetapi, semuanya berakhir apabila kegagalan urus tadbir negeri berlaku sebelum PRU14. 

Perkara ini juga pernah dilaksanakan oleh PH sebelum mentadbir Persekutuan. Pulau Pinang dan Selangor diangkat menjadi modul terbaik pentadbiran dan ekonomi di bawah pemerintahan BN. Maka, apa alasan Umno untuk tidak membangunkan Pahang dan Perlis sebagai modul terbaik Umno-BN semasa pemerintahan PH? 

Heroism baharu

Umno memerlukan kepimpinan baharu yang kukuh dan peduli akan suara akar umbi. Idea ini dilontarkan oleh Bridget Welsh dalam buku The End of Umno yang  melihat parti itu telah kehilangan pemimpin herosim selepas pemerintahan Abdullah Badawi dan Najib Razak, apatah lagi Ahmad Zahid Hamidi. 

Desakan Zahid untuk letak jawatan sebagai contoh, bukanlah satu ancaman besar kerana pemimpin Umno lama seperti Shahrir Samad dan Najib sahaja cukup untuk memperkukuhkan jawatannya. Amat berbeza dengan Khairy Jamaluddin, yang terpaksa keluar daripada kerangka parti menyuarakan pandangan di luar Umno. Di situ, kita dapat lihat kesukaran pemimpin muda berpeluang menerajui Umo kerana blok kepimpinan senior masih kuat berpengaruh dan bersama menghadapi lawan politik dalam parti. 

Heroism ini bukanlah satu ungkapan untuk mencari pahlawan baru Umno yang muda, bijak dan tampan seperti Khairy sahaja. Heroism bermaksud seorang pemimpin yang bekerja bersama akar umbi, bertindak bersama-sama dengan aspirasi ahli parti, bukan mengambil tindakan populis dan bersendirian dalam perjuangan. 

Penjenamaan semula BN 

Umno perlu memulakan semula perbincangan dengan parti komponen BN dalam menentukan arah tuju mereka. Pada hemat saya, hubungan PAS-Umno yang terjalin adalah sementara dan tidak memberi kesan jangka panjang. BN ialah parti yang mengambil kira kepelbagaian etnik dan agama, khususnya di Sarawak dan Sabah, berbeza dengan PAS. 

Pemimpin Umno harus berhadapan dengan realiti, mereka perlukan perikatan yang kukuh menjadi pembangkang untuk kembali semula ke Putrajaya. BN harus dijenamakan semula dan istilah Umno sebagai ‘big brother’ perlu ditukar kepada istilah berpasukan yang kuat dan bersama dalam perjuangan. 

Penjenamaan semula gabungan parti adalah satu kebiasaan. PH juga telah dijenamakan semula selepas Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif gagal mencapai kata sepakat sejak 1999. Maka mengapa Umno perlu goyah untuk penstrukturan BN? 

Umno perlu terus berjalan di permukaan demokrasi

Selain berhenti melompat, pemimpin Umno juga perlu berhenti membicarakan kitab-kitab lama dan berdepan dengan realiti demokrasi Malaysia. Saya melihat usaha menubuhkan kabinet bayangan merupakan satu anjakan paradigma Umno untuk kekal releven di mata rakyat. Tetapi, penubuhan tanpa fungsi yang jelas amat mengecewakan. 

Umno harus berjalan di permukaan demokrasi, mencari idea dan perjuangan alternatif  untuk memastikan rakyat tidak sengsara dibawah pemimpin PH. Rakyat hari ini tentunya marah akan pemimpin Umno yang telah melakukan kesalahan, tetapi rakyat lebih marah melihat Umno tidak menggunakan mandat yang ada sebagai pembangkang dalam membangunkan negara. – 21 Disember, 2018.

* Mohammad Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen