Laporan sahkan Ukraine tidak terlibat program peluru berpandu Korea Utara


Presiden Ukraine Petro Poroshenko mengarahkan Kementerian Luar Negeri mengadakan mesyuarat tertutup dengan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu untuk membentangkan laporan berkenaan. – Gambar AFP, 23 Ogos, 2017.

LAPORAN rasmi sebuah kumpulan kerja mendapati Ukraine tidak terlibat dalam program pembangunan peluru berpandu Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua pada Selasa.

Kumpulan kerja berkenaan ditubuhkan berikutan laporan sebuah akhbar asing kononnya syarikat aeroangkasa milik negara Yuzhmash membekalkan enjin roket untuk Korea Utara.

Laporan diterbitkan di laman sesawang Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara Ukraine.

Menurut laporan, sistem kawalan eksport Ukraine mengawal keseluruhan proses penghantaran termasuk peralatan ketenteraan dan barangan dwiguna mendapati tiada sebarang pemindahan enjin roket ke Korea Utara.

The New York Times melaporkan syarikat Yuzhmash “kemungkinan besar” adalah pembekal enjin peluru berpandu balistik Korea Utara namun dinafikan syarikat berkenaan.

Presiden Ukraine Petro Poroshenko mengarahkan Kementerian Luar Negeri mengadakan mesyuarat tertutup dengan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu untuk membentangkan laporan berkenaan. – Bernama, 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen