Ahli PKR buat aduan tatatertib terhadap Latheefa Koya


Christopher Rabin

BEBERAPA ahli PKR membuat aduan tatatertib terhadap Latheefa Koya kerana tuduhan kronisme dan nepotisme dalam pelantikan ketua parti negeri.

PKR Bahagian Klang dan Indera Mahkota pagi ini mengemukakan aduan masing-masing kepada ibu pejabat parti di Petaling Jaya.

Kedua-duanya disokong oleh bahagian Cabang Paya Besar, Kelana Jaya dan Kuala Langat.

Mereka mahu lembaga disiplin parti itu menghukum Latheefa kerana membuat kenyataan yang meletakkan parti dalam keadaan tidak baik.

“Kenyataannya menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai presiden parti yang mengamalkan kronisme dan nepotisme.

“Tetapi presiden hanya mengikut perlembagaan parti yang membolehkan beliau membuat pelantikan itu, selepas berbincang dengan pemimpin bahagian di negeri-negeri,” kata Ketua Penerangan PKR Klang, Mohd Farazi Shah.

Beliau berkata walaupun kritikan dibenarkan dalam parti, kenyataan Latheefa kepada media tidak wajar dan tidak memberi imej baik kepada parti.

“Semua orang boleh mengkritik atau memberi pandangan mereka mengenai kepimpinan, tetapi ia perlulah melalui saluran yang betul.

“Beliau sepatutnya menggunakan saluran tanpa manipulasi media, kami tidak mahu cabaran terbuka melalui media sosial atau secara terbuka menunjukkan kelemahan dalam parti,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Latheefa merosakkan imej parti itu.

Kenyataan Latheefa pada Isnin mengatakan pelantikan ketua parti negeri tidak telus dan dilihat berpihak calon yang cenderung kepada Rafizi Ramli.

Beliau berkata selain pemimpin Sarawak dan Selangor, semua ketua negeri lain yang dilantik oleh Anwar “dikenali sebagai satu daripada dua puak utama dalam PKR”. – 20 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen