-2.jpg)
IZINKAN saya terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagi negeri Johor.
Saya amat kagum dengan dasar dan pendekatan PH yang boleh melantik pemimpin bukan atas dasar prinsip dan merit, menunjukkan betapa ghairahnya mereka untuk menakluk kuasa pemerintahan di Johor dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Perasaan kagum ini lahir kerana hanya ada dua wakil Bersatu di Johor. Setiap satu untuk kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Umum juga mengetahui kerusi itu pun dimenangi wakil rakyat berkenaan bukan atas tiket mahupun lambang parti yang kini mereka terajui.
Bermakna, mereka menang bukan atas asas merit, apatah lagi kepercayaan rakyat kepada institusi ataupun parti mereka kini.
Ini berbanding rakan Bersatu lain dalam PH di Johor. Yang menang di kawasan masing-masing atas asas merit, kerana bertanding dan menang menggunakan bendera dan logo parti masing-masing (kecuali beberapa wakil Amanah yang melompat daripada PAS).
Paling utama, mereka mempunyai bilangan kerusi lebih banyak berbanding rakan daripada Bersatu.
Berbalik kepada pandangan Muhyiddin yang mengatakan Johor kini sudah matang. Saya ingin mengambil ketetapan bersetuju dengan pandangan tersebut, atas beberapa faktor seperti di bawah.
Pertama, ekonomi negeri Johor kini memang sudah matang, berbanding ketika beliau menjadi menteri besar pada sekitar 1990-an.
Matang dari segi pembangunan ekonominya sehingga menjadikan Johor negeri pilihan utama pelabur, berbanding Selangor dan Pulau Pinang.
Ratusan ribu peluang pekerjaan baharu diwujudkan. Limpahan ekonomi dirasai rakyat di setiap peringkat dan golongan. Kadar kemiskinan di Johor kini berada pada kadar sifar peratus dan pendapatan rakyat melebihi kadar purata di peringkat nasional.
Kedua, pemikiran rakyat dan daya intelektual bangsa Johor kini juga sudah bertambah matang. Kesan dan hasil daripada usaha berterusan kerajaan sedia ada memperjuangkan agenda pendidikan dan pembangunan modal insan.
Majoriti rakyat di Johor kini mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, lahir dari puluhan institusi pendidikan yang berkualiti.
Kemahiran dan produktiviti kebanyakan rakyat juga makin meningkat, terus menjadi penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi negeri.
Aspek rohani dan pembentukan sahsiah bangsa tidak sesekali dilupai. Jumlah sekolah agama kini melebihi 570 buah di serata negeri.
Ketiga, kualiti hidup dan tahap kesejahteraan rakyat di Johor kini juga sudah bertambah matang. Rakyat kini berpeluang memiliki rumah sebagai tempat berteduh dan membina kehidupan berkeluarga.
Kemudahan awam dan infrastruktur asas juga bertambah baik dan matang, baik yang duduk di kampung mahupun di bandar.
Banyak juga kawasan penempatan setinggan yang telah diberi hak milik. Berbanding pada era 1990-an ketika banyak setinggan terpaksa diusir dan tanah diberikan kepada pemaju dan diswastakan.
Rakyat kini berpeluang menaiki bas menuju ke destinasi secara percuma. Kemajuan teknologi dirasai semua golongan dengan penyediaan wi-fi percuma di seluruh negeri.
Kualiti air yang keluar dari setiap pili dan paip di setiap rumah juga bersih dan jernih. Rakyat bangsa Johor berbilang kaum hidup aman, damai dan sejahtera.
Kematangan yang dicapai Johor pada hari ini tidak berlaku secara automatik mahupun secara tiba-tiba.
Ia berlaku dan berjaya dicapai hasil perancangan rapi, pelaksanaan dan komitmen jitu, selain “political will” kepimpinan dalam kerajaan sedia ada dalam semua perkara yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Dan inilah takrifan sebenar Johor yang sudah matang. – 23 Ogos, 2017.
* Noor Azleen Ambros adalah penolong setiausaha, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen