Hong Kong dilanda Taufan Hato, tahap amaran maksimum dikeluarkan


Amaran maksimum Taufan 10 itu yang pertama sejak lima tahun lepas. – Gambar AFP, 23 Ogos, 2017.

HONG KONG meningkatkan amaran ributnya ketika Taufan Hato menyebabkan bandaraya itu lumpuh, menutup pasaran saham dan memaksa pembatalan beratus penerbangan disebabkan hujan lebat dan angin kencang.

Agensi kaji cuaca menaikkan amaran ribut kepada tahap maksimum Taufan 10- bermakna angin kencang ribut dijangka berlaku.

Ini adalah amaran maksium pertama dikeluarkan sejak lima tahun lepas dan kali ketiga amaran Taufan 10 dikeluarkan sejak negara itu diserahkan kembali kepada China pada 1997.

Pada jam 11.00 pagi waktu tempatan, Taufan Hato berada pada jarak 60 kilometer di selatan Hong Kong, menyebabkan ombak tinggi dan banjir paras buku lali di sesetengah kawasan.

Angin kencang sederas 168 kilometer perjam menerbangkan barang, menumbangkan pokok dan menjatuhkan kren kawasan pembinaan. Penduduk juga menahan tingkap mereka dengan penahan bagi melindungi ia daripada pecah.

Jalan raya Hong Kong yang selalunya sibuk kini lengang dan hanya beberapa orang kelihatan cuba melawan angin kencang itu.

Menurut pihak berkuasa, dua orang lelaki cedera setakat ini. Hampir 200 orang lagi sudah mendapatkan perlindungan di tempat perlindungan sementara.

Taufan itu dijangka menuju ke arah Pearl River Estuary dan dijangka membawa hujan lebat ke atas kawasan seluas 100 kilometer di barat Hong Kong tengahari ini.

Syarikat penerbangan utama negara itu, Cathay Pacific mengatakan hampir semua penerbangan yang dijadualkan bertolak sebelum jam 5.00 petang hari ini sudah dibatalkan. Hong Kong Airlines juga dijangka membatalkan penerbangan.

Lapangan Terbang Hong Kong mengatakan 420 penerbangan sudah dibatalkan.

Perkhidmatan feri juga ditunda begitu juga dengan pengangkutan kereta api ke lapangan terbang dan operasi kereta api dalam bandar dan bas terbatas.

Hong Kong seringkali dilanda ribut antara bulan Julai dan Oktober.

Ribut terburuk berlaku pada 1962 apabila Taufan Wanda berlaku dan angin kencang sederas 284 kilometer per jam direkodkan.

Taufan itu membunuh 130 orang dan memusnahkan ratusan rumah, menyebabkan 72,000 hilang tempat tinggal.

Sejak itu, Hong Kong bersiap sedia untuk berdepan taufan termasuklah mensyaratkan semua bangunan pencakar langit dilengkapi teknologi pengayun ribut yang mengurangkan kematian akibat bencana alam itu.

Kali terakhir tahap amaran maksium Taufan 10 dikeluarkan di Hong Kong adalah ketika Taufan Vicente melanda pada 2012. – AFP, 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen