PAS dinasihat jangan politikkan tragedi


Saya merujuk kepada kenyataan Saudara Syarhan Humaizi Halim iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor yang menyebut Kerajaan Selangor juga perlu bertanggungjawab terhadap pemergian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Bomba Malaysia yang meninggal dunia malam kelmarin. 

Saya ingin menegur dan mengingatkan Saudara Syarhan Humaizi bahawa isu ini tidak wajar dipolitikkan dan haruslah menjadi peluang kepada semua pihak untuk duduk bersama dan mencari satu jalan penyelesaian yang kolektif. Tindakan saudara menuding jari mencari dan menyalahkan Kerajaan Negeri berbanding berperanan dengan lebih berkesan dalam menangani sebarang permasalahan adalah satu tindakan menangguk di air keruh.

Umun mengetahui bahawa Kerajaan Negeri Selangor memainkan peranan aktif menerusi ruang perundangan menerusi Polis DiRaja Malaysia bagi mengawal ketenteraman awam berhubung isu Kuil Sri Maha Mariamman ini. YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telah mengambil inisiatif memanggil Mesyuarat Keselamatan Negeri pada 27 November 2018 dan hasilnya tindakan drastik sejurus mesyuarat itu telah berjaya mengembalikan ketenteraman awam di sekitar kawasan Kuil Seafield. 

Pada 28 November 2018, YAB Dato’ Menteri Besar telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Yang Berhormat Menteri bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi isu ini dan menamatkan permasalahan yang timbul. Menerusi pertemuan dan perbincangan lanjut seterusnya dengan beberapa pihak yang terlibat, satu sidang media telah dibuat pada 29 November 2018 di Dewan Negeri Selangor bagi mengumumkan cadangan penyelesaian oleh Kerajaan Negeri. Selepas dari sidang media ini, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sentiasa mengambil berat dan mendengar cadangan dari pelbagai pihak yang terlibat.

Dalam konteks kebajikan Allahyarham Muhammad Adib, pada 27 November 2018 YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telah menziarahi Allahyarham Muhammad Adib serta keluarga di Hospital SJMC. Kerajaan Negeri Selangor telah menawarkan untuk menanggung sepenuhnya kos perubatan dan memberi kerjasama yang cukup erat dengan pihak hospital. Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia turut mengucapkan penghargaan kepada ramai pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor yang membantu urusan Allahyarham Muhammad Adib dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Malahan sepanjang insiden ini, bolehlah dikatakan Pemuda PAS Selangor gagal menyumbang kepada meredakan ketegangan serta memberi pandangan konstruktif kepada penyelesaian isu tersebut.

Justeru, saya ingin mengajak Saudara Syahran Humaizi untuk tidak hanya menggunakan isu ini untuk kepentingan politik parti tetapi terlibat bersama dalam mencari satu kebersamaan agar sikap menolak toleransi tidak menjadi budaya dalam menangani kepentingan bertindih melibatkan agama dan kaum di masa hadapan.

*Saifuddin bin Shafi Muhammad adalah Ketua AMK Cabang Hulu Selangor

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen