NAJIB Razak menolak permintaan pemimpin Umno yang mahu beliau kembali dalam memimpin parti itu sebagia ketua umum.
Jelasnya, beliau kini hanya mahu menumpukan kepada puluhan pendakwaan yang dihadapinya di mahkamah dan untuk memberi penjelasan kepada isu berkaitan rakyat.
“Saya ucapkan terima kasih di atas kepercayaan itu namun saya tidak berniat atau berhasrat untuk menjadi ketua umum parti.
“Seperti yang saya telah jelaskan sebelum ini, keutamaan saya masa ini adalah untuk membersihkan nama saya di dalam dakwaan-dakwaan undang-undang yang sedang saya hadapi…,” coretnya di Facebook.
Beliau menjawab saranan seorang ahli majlis kerja tertinggi Umno, Lokman Noor Adam agar beliau menggantikan Ahmad Zahid Hamidi dengan menjadi ketua umum parti itu dan ketua pembangkang.
Cadangan itu ditimbulkan Lokman susulan keputusan Zahid semalam untuk menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya, Mohamad Hassan.
Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk membantu parti sekiranya pemimpin tertinggi parti meminta beliau berbuat demikian.
“Saya sentiasa sedia memberi pertolongan dan sokongan penuh kepada (Mohamad) Hassan dan barisan pemimpin Umno jika ada permintaan atau keperluan dari mereka,” katanya.
Mengulas tindakan Zahid menyerahkan tugas presiden kepada Mohamad, Najib menyifatkan ianya satu tindakan mulia yang mementingkan parti melangkaui kepentingan peribadi.
“Sebagai presiden yang dipilih secara demokratik oleh parti, ini ialah satu pengorbanan peribadi yang besar dan bukan satu langkah yang mudah untuk beliau ambil.
“Pun begitu, saya juga yakin dengan (Mohamad) Hassan yang akan menyandang tugas-tugas presiden parti.
“Beliau memiliki visi, kepimpinan dan kepercayaan pemimpin dan ahli parti untuk menstabilkan serta bina semula Umno,” ujarnya.
Zahid mengumumkan melepaskan tugas presiden itu selepas diasak oleh pelbagai lapisan pemimpin parti kerana didakwa tidak mempunyai hala tuju dan gagal membawa parti ke landasan sepatutnya.
Langkah itu juga bagi menghalang lebih ramai wakil rakyat dan pemimpin Umno keluar parti, katanya.
Dalam tempoh tidak sampai lima bulan sejak Zahid menang jawatan presiden Umno, seramai 19 orang ahli Parlimen dan 22 orang Adun Umno serta Barisan Nasional meninggalkan parti. – 19 Disember, 2018.
Komen