Tak memadai gantung tugas Caryn Yean, kata Pemuda Umno


Komen Caryn Yean berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib yang tular di media sosial mencetuskan kemarahan orang ramai.– Gambar Facebook, 19 Disember, 2018

PEMUDA Umno tuntut tindakan lebih tegas ke atas seorang individu yang didakwa mengeluarkan komen jelik berhubung kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Anggota exco pergerakan itu Fadzmel Fadzil berkata, tindakan itu perlu dikenakan ke atas seorang kakitangan syarikat penjualan kereta, Caryn Yean atas satu tulisan di Facebook.

Katanya, kenyataan kakitangan Honda Sri Utama Auto Sdn. Bhd itu menyentuh sensitiviti kaum dan agama mampu menimbulkan suasana kurang senang dan membangkitkan kemarahan orang Islam.

“Kami berharap tindakan tegas di ambil terhadap individu ini oleh pihak berkuasa walaupun penggantungan serta-merta telah dilakukan oleh majikan individu berkenaan. 

“Dengan langkah ini juga kami berharap ia dapat dijadikan pengajaran kepada mana-mana individu yang ingin lakukan perkara yang sama di masa akan datang,” kata dalam satu kenyataan.

Beliau terdahulu membuat satu laporan di balai polis Wangsa Maju ke atas Yean atas kenyataan wanita itu yang mendakwa kematian Adib disebabkan oleh kegagalan tuhan.

“Bukan kerajaan gagal. Tuhan you yang gagal sembuhkan Adib,” coret wanita itu di Facebook susulan kematian pemuda berusia 24 tahun itu pada Isnin malam lalu.

Muhammad Adib yang berasal dari Kuala Kedah dirawat selama tiga minggu di Institut Jantung Negara (IJN) akibat parah diserang dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Syarikat pengedar kereta Honda Sri Utama Auto Sdn. Bhd. Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur semalam mengesahkan Yean merupakan kakitangannya dan mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada keluarga Adib.

Syarikat itu juga mengumumkan Yean digantung tugas bagi membolehkan pengurusan syarikat menjalankan siasatan dalaman.

Fadzmel dalam kenyataan selanjutnya meminta supaya semua pihak membuat laporan polis sekiranya melihat mana-mana kenyataan jelik di media sosial.

Katanya kenyataan provokatif seperti itu akan membawa mudarat kepada perpaduan negara.

“Jangan biarkan isu seperti ini berleluasa dan kita bersama-sama kekang sebelum ia merebak menjadi isu yang lebih mudarat,” katanya yang juga naib ketua Pemuda Umno Setiawangsa. – 19 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen