AHLI Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin memaklumkan beliau masih lagi belum menerima sebarang notis saman daripada Umno susulan tindakannya keluar daripada parti itu.
“Setakat ini belum terima notis saman. Kalau saman itu memang telah difailkan, kita bersedia untuk menghadapi.
“Kita pun tidak tahu saman itu atas pertuduhan apa,” katanya ringkas ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang parti itu memfailkan saman di mahkamah pada 14 November lalu.
Zahid berkata Umno mahu semua bekas ahli Parlimennya yang keluar parti itu “membayar hutang budi” yang membolehkan mereka menang Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Sehingga minggu lalu, 17 ahli Parlimen Umno keluar parti menjadikan Umno sekarang tinggal 37 wakil di Dewan Rakyat.
The Malaysian Insight sudah menghubungi lebih separuh daripada mereka namun belum mendapat maklum balas.
Sebelum 14 November 2018, Umno hanya hilang enam ahli Parlimen iaitu Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Mustapa Mohamed (Jeli), Anifah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan).
Noor Azmi, Mas Ermieyati dan Mustapa kini sudah menyertai Bersatu manakala Rozman menyertai Warisan di Sabah.
Noor Azmi yang dihubungi The Malaysian Insight sebelum ini menegaskan beliau tidak akan memenuhi apa saja tuntutan Umno berhubung tindakannya keluar parti itu.
“Saya tidak menerima apa-apa (writ saman), tidak akan mengosongkan kerusi dan saya tidak akan membayar balik apa-apa tuntutan yang dibuat oleh parti,” katanya.
Rabu lepas lima ahli Parlimen dari Sabah keluar parti bersama 9 wakil rakyat negeri, dua senator dan 21 daripada 25 ketua bahagian parti di negeri itu. Dua hari kemudian, enam lagi ahli Parlimen Umno mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Zahid.
Mereka ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), dan Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah).
Hamzah turut mendedahkan akan ada 10 lagi wakil rakyat Umno di Parlimen akan keluar parti tidak lama lagi sekiranya Zahid tidak berundur. – 19 Disember, 2018.
Komen