PAS tidak akan bincang pembahagian kerusi dengan PKR, kata naib presiden


PAS memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR selepas usul itu diluluskan pada muktamar parti Islam itu pada Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2017.

PAS menegaskan tidak akan berlaku perbincangan dengan PKR berkaitan pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), walaupun presidennya Wan Azizah Wan Ismail mahu kembali duduk semeja, lapor Utusan Online.

Akhbar itu melaporkan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata perkara itu jelas selepas pihaknya memutuskan hubungan dengan PKR pada Mei lalu.

“Meskipun PAS dan PKR masih mempunyai ruang untuk berbincang, namun setakat ini, kita tidak akan berbuat sebarang perbincangan dengan PKR.

“Kalau presiden PKR kata mahu berbincang dengan PAS dalam isu penentuan kerusi PRU14, bagi kami senang saja.

“PKR jangan bertanding di mana-mana kerusi PAS bertanding,” katanya dipetik daripada akhbar itu.

 Menurut laporan itu, PKR akhir-akhir ini dilihat cuba mengembalikan kerjasama dengan PAS untuk berdepan pilihan raya.

Polemik muncul semula bila gambar Wan Azizah dan Menteri Besar Selangor Azmin Ali melawat Presiden PAS Abdul Hadi Awang tersebar baru-baru ini.

Beberapa hari kemudian, biro politik PKR mengubah keputusan mereka untuk 75 ahli meletak jawatan daripada kerajaan negeri Kelantan.

PKR memberi alasan yang menteri besar Kelantan mengeluarkan kenyataan PAS Kelantan masih memerlukan kerjasama PKR dalam mentadbir kerajaan negeri.

Langkah itu juga menyebabkan rasa kurang selesa dalam gabungan Pakatan Harapan di mana Amanah ialah parti serpihan PAS.

PKR juga dilihat berdepan masalah pembahagian kerusi dengan DAP apabila veteran parti itu Lim Kit Siang meminta kerusi DUN Gurun dan Kulim daripada PKR. – 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen