-2.jpg)
DR Mahathir Mohamad pernah mendakwa, Kabinet bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi sebagai kabinet “half past six” dan Kabinet tunggul kayu mati.
Malangnya, hari ini Kabinet Dr Mahathir adalah lebih teruk daripada itu. Ini adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan.
Sebelum ini, menteri Kabinet terdahulu jika berperang dengan agensi penarafan antarabangsa adalah kerana agensi sedemikian menurunkan penarafan negara. Hari ini kita dibawa berperang kerana agensi itu memberi penarafan tinggi untuk Malaysia.
Sebelum ini kita bercakap soal polisi pendidikan dan soal masa depan generasi muda, hari ini kita bercakap soal kasut, stokin dan kolam renang.
Suatu ketika dahulu kita bercakap bagaimana untuk memudahkan rakyat dengan bantuan masa pendek sementara kita merancang untuk jangka masa panjang.
Kini bantuan jangka pendek entah di mana dan lampu di hujung terowong masa depan pula telah dipadamkan.
Ini tentu sekali lebih dahsyat dari tunggul kayu dan sebaliknya tunggul itu sudah dipanah petir dan menjadi bara yang membakar diri sendiri.
Siapa antara kita berani bercakap soal masa depan?
Sudah tentu tidak nelayan, penoreh getah, peneroka Felda, pemiutang PTPTN, pembayar tol dan cukup tahun nanti, pengguna bahan bakar RON95 pun bakal melihat cahaya masa hadapan semakin malap.
Saya yakin, majoriti hari ini mahu bapak-bapak menteri berhenti bercakap dan buktikan percakapan silam mereka.
Dr Mahathir tentu marah dan kecil hati bila kita ingatkan beliau bahawa Kabinetnya hari ini lebih teruk daripada Kabinet tunggu kayu Pak Lah.
Saya masih ingat Lim Kit Siang berkata kepada Pak Lah, bila dah jadi perdana menteri; tiada lagi masa untuk “warm up”. Kata-kata yang sama perlu disampaikan kepada Kabinet Dr Mahathir.
Parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak perlu merungut atau mengugut dengan kemasukan ahli Parlimen Umno ke dalam mana-mana parti yang membentuk kerajaan.
Saya ingin bertanya baik DAP, PKR atau Amanah: adakah mereka tidak pernah mengambil ahli Umno?
Anwar Ibrahim, Zaid Ibrahim, Ariff Sabri dan Syed Ali Al Habshee – siapa mereka ini kalau bukan datang daripada Umno?
Dakwaan bahawa penerimaan ahli Yang Berhormat Umno akan menjadi penghalang kepada agenda reformasi dalam kerajaan PH adalah satu dakwaan novis atau mungkin berniat jahat.
Bagaimana pendakwa tahu semua YB ini penghalang agenda reformasi? Jika anda kenal mereka anda tahu mereka juga reformis tetapi ekosistem Umno itu sendiri yang menghalang agenda reformasi.
Apabila disebut ekosistem bermaksud halangan agenda reformasi tidak datang dari kalangan pimpinan Umno sendiri tetapi datang daripada sebahagian akar umbi Umno, para penyokong Umno, pihak yang menumpang makan dengan Umno, kumpulan pendesak, budayawan, pakar-pakar bahasa, segelintir profesor Melayu yang ilmu mereka membodek untuk menjaga periuk nasi dan juga “Little Napoleon” dalam pentadbiran awam.
Inilah yang menghalang agenda reformasi. Dan ternyata saya berkata benar kerana setelah tujuh bulan, PH juga kini turut mewarisi masalah yang sama. Mana agenda reformasi PH?
PH perlu ingat mereka hanya menubuhkan kerajaan dengan sokongan 48% undi popular manakala baki majoriti pengundi menyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Ahli Parlimen BN mewakili 33% undi PRU14. Kebanyakan mereka menang di kerusi-kerusi luar bandar dan kerusi-kerusi majoriti Bumiputera.
Adakah dengan tidak berpuas hati dengan kemasukan mereka ke dalam PH bererti segelintir dalam PH tidak mahu kerajaan ini dikuatkan dengan undian Bumiputera dan juga penduduk luar bandar?
Antara sebab utama Bumiputera dan juga penduduk luar bandar ini mengundi BN pada PRU14 dahulu adalah kerana mereka mahu kawasan mereka diwakili oleh YB daripada kerajaan.
Mereka mahu kaum Bumiputera mempunyai representasi yang kuat dalam kerajaan dan mereka mahu terus menikmati bantuan kerajaan. Mereka di luar bandar tidak menjangkakan BN yang mereka undi akan tumbang.
Jadi mandat sebenar ialah untuk berada bersama kerajaan bukan dalam barisan pembangkang. Maka, tepatlah tindakan YB dari luar bandar untuk berpindah kembali kedalam kerajaan. Itu mandat yang diberi sebahagian besar pengundi kepada mereka.
Adakah PH hanya eksklusif untuk bukan Bumiputera dan Bumiputera yang tidak berminat dengan agenda Bumiputera? Adakah PH hanya eksklusif untuk orang bandar?
Jika PH menyekat kemasukan wakil-wakil rakyat yang mendapat sokongan majoriti Bumiputera dan pengundi luar bandar bererti ini adalah satu diskriminasi dan konspirasi jahat.
Patutlah agaknya Kabinet hari ini tidak menghiraukan nasib penduduk-penduduk luar bandar dan juga nasib golongan kurang bernasib baik seperti mana kerajaan terdahulu.
Adilkah saya berkata demikian? Tetapi kalau bapak-bapak menteri turun bertemu mereka ini sudah tentu mereka berkata seperti saya tuliskan ini.
Lebih dahsyat lagi, kata mereka, dulu BN dipanggil kerajaan “Barang Naik”. Hari ini PH adalah “Pemusnah Harapan”. Aduh, pedih telinga mendengarnya.
Adakah harapan untuk rakyat? Harapan untuk melihat harga barang turun tidak berlaku. Harapan untuk melihat harga minyak turun sebelum kokok ayam di subuh hari juga tidak berlaku. Harapan untuk hidup makmur juga semakin hambar. Ya, kita dapat hapuskan GST tetapi harga barang terus naik.
Dr Mahathir perlu bertindak segera. Kita masih ada keyakinan beliau mampu melakukannya tetapi bukan dengan kaedah yang telah dilakukan selama tujuh bulan yang lalu dan bukan dengan Kabinet tunggul kayu mati.
Gabungan Dr Mahathir dan Anwar perlu berlaku semula. Anwar adalah presiden parti yang mempunyai wakil rakyat paling ramai dalam PH. Anwar perlu dibawa segera ke dalam kabinet dan mengambil alih kerusi timbalan perdana menteri.
Malangnya, tentangan terhadap Anwar datangnya dari dalam komponen PH dan penyokong mereka sendiri. Betapa hebatnya hipokrasi ini.
Kita perlu Kabinet yang kukuh demi rakyat dan negara. Kemampuan Anwar sekurangnya-kurangnya setanding dengan Muhyiddin Yassin. Tetapi keupayaan beliau kini dengan ujian kesihatan.
Selain mereka berdua, tiada lagi yang lebih berpengalaman dan berkemampuan melaksanakan tugas sebagai timbalan perdana menteri.
Perdana menteri hari ini perlukan timbalan yang boleh melakukan tugas-tugas sebenar seorang timbalan. Kita tidak perlu simbol.
Memang benar, lantikan Kabinet adalah hal mutlak perdana menteri tetapi beliau sendiri dipilih kerana wakil kepada rakyat dan gajinya dibayar oleh rakyat.
Salahkah perdana menteri mendengar keluhan rakyat dan bukan keluhan beberapa individu di sekelilingnya?
Lupakanlah sengketa peribadi dan hasutan sekeliling. Malaysia hari ini menuju ke arah kemusnahan yang kita sendiri mulakan.
Musuh sebenar kita bukan di luar sempadan negara tetapi dari kalangan kita sendiri.
Kembalilah kepada maklamat asal kita untuk mengembalikan kegemilangan negara tercinta.
Selamat Tahun Baharu, Malaysia. – 19 Disember, 2018.
* Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen