Kecederaan pada dada punca kematian Adib, kata laporan


KEMATIAN anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim sebahagian besarnya disebabkan oleh “kecederaan pada dada”, lapor New Straits Times (NST) hari ini.

Laporan akhbar itu berdasarkan bedah siasat yang dilakukan terhadap Adib.

Ia menambah bedah siasat juga mendedahkan terdapat tambahan patah pada tulang rusuknya, yang sebelum ini tidak dapat dilihat melalui X-ray.

NST berkata para pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (KLH) mengetahuinya semasa autopsi lebih tiga jam, yang berakhir kira-kira pukul 5 pagi semalam.

Polis kini mengklasifikasi semula kematian Adib sebagai pembunuhan selepas beliau meninggal dunia akibat kecederaannya pada malam Isnin semasa dirawat di Institut Jantung Negara.

Pemuda berusia 24 tahun itu dipukul sekumpulan individu tidak dikenali semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25 di Subang Jaya pada 27 November.

Empat lelaki ditangkap pada 6 Disember dan disiasat kerana cubaan membunuh tetapi dibebaskan dengan ikat jamin.

Polis percaya Adib ditarik keluar daripada jentera bomba dan diserang tetapi jawatankuasa kuil mengatakan beliau dilanggar jentera itu semasa sedang mengundur.

Masalah di kuil bermula sehari sebelumnya apabila sekumpulan lelaki bertopeng, bersenjatakan parang dan batang besi menyerbu kuil serta menghalau penganut Hindu di situ. – 19 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen