Clooney derma RM4.2 juta perangi perkauman selepas insiden Charlottesville


Pelakon George Clooney dan isterinya, Amal menderma AS$1 juta (RM4.2 juta) kepada Southern Poverty Law Center, sebuah organisasi hak asasi awam yang memantau aktiviti kumpulan perkauman. – Gambar AFP, 23 Ogos, 2017.

PELAKON Hollywood George Clooney dan isteri, Amal menderma AS$1 juta (RM4.2 juta) kepada Southern Poverty Law Center, sebuah organisasi hak asasi awam yang memantau aktiviti kumpulan perkauman.

Pasangan itu menyalurkan dana berkenaan menerusi Yayasan Clooney untuk Keadilan, susulan rusuhan pelampau kulit putih sehingga menyebabkan kejadian mengorbankan nyawa pada perhimpunan kumpulan ideologi ketuanan kulit putih di Charlottesville, baru-baru ini.

“Apa yang berlaku di Charlottesville dan apa yang sedang berlaku dalam komuniti di seluruh negara, menuntut pembabitan kolektif kita untuk membendung perkauman,” kata Clooney dalam satu kenyataan mengumumkan dana itu.

Rusuhan pada perhimpunan dianjurkan golongan neo-Nazi dan kumpulan ekstremis di Charlottesville menyebabkan seorang wanita terbunuh selepas peserta himpunan pelampau kulit putih merempuh sekumpulan penunjuk perasaan dengan kereta.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dikritik hebat berikutan komennya yang kedua-dua pihak harus dipersalahkan atas keganasan menonjolkan ketegangan kaum di negara itu. – AFP, 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen