ISTERI Setiausaha Kewangan Amerika Syarikat (AS), Steven Mnuchin memohon maaf selepas menyiarkan foto Instagram dan komen yang dikatakan membuta tuli dan elitis.
Louise Linton, 36, seorang pelakon Scotland memuat naik gambarnya ke media sosial malam Isnin lalu ketika turun dari pesawat rasmi AS bersama Mnuchin.
Beliau turut menunjukkan pakaian yang dikenakan daripada pereka terkenal dan aksesori, termasuk cermin mata hitam Tom Ford, selendang Hermes serta kasut tumit tinggi Valentino.
Pasangan suami isteri itu baru kembali dari Kentucky selepas Mnuchin memenuhi undangan untuk berucap di Dewan Perniagaan Louisville dan melawat Depositori Bullion AS di Fort Knox.
Jabatan Perdagangan menganggarkan kira-kira 18.5% daripada rakyat Kentucky hidup dalam kemiskinan.
Seorang pengguna media sosial, jennimiller29 menulis komen di akaun Instagram itu mendakwa Linton menyalahgunakan wang pembayar cukai: “Lega kami dapat menanggung percutian kecil anda #menyedihkan.”
Linton yang tidak dapat menahan diri, pantas membalas: “Oh!!! Adakah anda fikir ini lawatan peribadi?! Comel!” jawabnya.
Bagaimanapun, komen Linton dikatakan sudah dipadam daripada akaun Instagramnya.
Beliau turut menyatakan permohonan maaf menerusi pengurus publisitinya pada hari berkenaan.
“Saya memohon maaf atas komen di media sosial semalam dan jawapan saya. Ia tidak sesuai dan sangat tidak sensitif,” kata Linton dalam satu kenyataan. – AFP, 23 Ogos, 2017.
Komen