-2.jpg)
SEJAK kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim diumumkan malam Isnin, media sosial menjadi huru-hara dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap pihak-pihak tertentu.
Ada yang menyengat dan ada pula yang dibuat untuk menyakitkan hati segelintir masyarakat Malaysia, yang telah hidup aman dan damai semenjak kemerdekaan negara 60 tahun yang lalu.
Rata-rata pengamal media sosial berebut-rebut mencari kambing hitam untuk melepaskan geram atas kematian anggota bomba yang meninggal dunia akibat serangan sekumpulan orang tidak dikenali di perkarangan sebuah kuil di USJ, Subang Jaya.
Yang peliknya ada pula pihak tertentu yang melepaskan geram mereka ke arah Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy, inginkan beliau dilucutkan jawatan menteri.
Adakah Waytha pembunuh Muhammad Adib atau adakah Waytha yang menyebabkan pertelingkahan antara dua kumpulan yang berlainan bangsa di kuil tersebut tiga minggu lepas?
Jawapannya tentu tidak. Pergaduhan antara dua pihak iaitu pemaju dan penganut di kuil tersebut tidak sesekali berkaitan dengan menteri itu atau berbaur perkauman.
Bila dikupas satu persatu insiden tersebut, amat jelas bahawa pergaduhan ini tidak melibatkan Waytha. Akan tetapi kenapa pula ada pihak yang tertentu yang menyalahkan menteri itu sebagai punca kematian Adib?
Mungkin kerana mereka sudah mempunyai tanggapan awal terhadap Waytha Moorthy, yang dulunya aktif dalam pergerakan Hindraf, memperjuangkan hidup rakyat India Malaysia.
Mungkin juga kerana “kesilapan” menteri itu sendiri yang membaca teks kenyataan media yang dipersetujui oleh tiga lagi menteri Kabinet dan seorang timbalan menteri sejurus insiden di kuil itu.
Pada sidang media tersebut, Waytha dibelakangi tiga lagi menteri, dua orang timbalan menteri dan beberapa ahli Parlimen termasuk yang Melayu, telah menyoal tindakan lambat polis dalam meleraikan pergaduhan tersebut.
Inilah “salah” Waytha. Kini, tiga lagi menteri dan seorang timbalan menteri itu tidak dijadikan sasaran tetapi hanyalah Waytha.
Kenapa ini berlaku? Adalah kerana beliau seorang senator yang dilantik? Adakah kerana beliau merupakan aktivis yang memperjuangkan hak untuk semua?
Atau adakah perkara ini dilakukan untuk memalukan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad?
Menjadikan Waytha sebagai sasaran mungkin dirancang dari awal lagi. Adakah patut seorang menteri dilucutkan jawatan semata-mata beliau membacakan kenyataan media awal mengenai kejadian di kuil tersebut?
Keadaan kini mungkin dapat dielak jika pihak polis mengambil tindakan pantas menangkap dan mendakwa mereka yang melakukan perkara kejam terhadap Adib. Tak kisah mereka Melayu atau India, atau sesiapa pun.
Menuding jari terhadap seseorang itu senang lebih-lebih lagi apabila yang meninggal itu seorang Melayu dan yang mereka yang disyaki itu kaum lain.
Kita kena bertanya: Kenapa pihak polis mengambil masa untuk menyelesaikan kes ini? Adakah pembunuh-pembunuh Adib akan dibawa ke muka pengadilan? Dan bila?
Banyak lagi persoalan yang belum dijawab. Kita kena mencari jawapan kepada persoalan ini daripada pihak polis.
Ini tidak, belum tahu isu penuh, kita dah melantun.
Kita banyak bercakap dari berfikir. Cubalah berfikir secara rasional. Jangan bertindak melulu tanpa berfikir.
Sehingga pihak polis dapat menangkap dan mendakwa pembunuh Adib, ada pihak yang akan dipersalahkan. Dari menteri ke sami, akan dicemuh dan diperlekeh.
Inikah cara kita?
Ingatlah wahai sahabat, amalan agama Islam tidak sesekali membenarkan umatnya mencemuh, menggugat dan melemparkan fitnah terhadap orang lain biarpun dia bukan Islam.
Menggunakan emosi untuk menangani masalah atau isu adalah cara yang kurang cerdik dalam mencari penyelesaian. Itulah yang berlaku sekarang.
Kita sebagai umat Islam dan bangsa Melayu yang penuh dengan sopan santun perlu melihat isu ini secara rasional. Jika tidak, tak payahlah luahkan isi hati di media sosial semata-mata untuk mengotakan cita-cita sebagai hero bangsa! – 18 Disember, 2018.
* Ahmad Bustaman Ismail ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen