Suspek pengganas Sepanyol rancang serang monumen


Empat suspek yang ditahan daripada sekumpulan 12 pengganas yang dipercayai merempuh pejalan kaki menggunakan van di kawasan tumpuan pelancong di Las Ramblas, Barcelona, minggu lalu. – Gambar AFP, 23 Ogos, 2017.

SEORANG suspek anggota rangkaian pengganas yang melancarkan serangan di Sepanyol minggu lalu, mengaku di hadapan hakim kumpulan militan merancang menyerang monumen terkenal.

Mohamed Houli Chemlal, 21, mendakwa mengetahui mengenai rancangan itu dua bulan lalu bersama tiga suspek lain yang hadir di mahkamah buat kali pertama sejak serangan berkembar yang mengorbankan 15 orang dan mencederakan lebih 100 lagi.

Semua empat suspek yang ditahan adalah suspek terselamat daripada sekumpulan 12 pengganas yang dipercayai merempuh pejalan kaki menggunakan van di kawasan tumpuan pelancong di Las Ramblas, Barcelona, Khamis lalu.

Beberapa jam kemudian, anggota kumpulan sama melancarkan satu lagi serangan di Cambrils dekat selatan Barcelona.

Selepas perbicaraan, Chemlal dan seorang lagi suspek, Driss Oukabir, 27, ditahan reman dan didakwa melakukan kesalahan berkaitan keganasan.

Hakim berkata suspek ketiga yang juga pemilik kereta digunakan dalam serangan di Cambrils, Mohamed Aallaa, diberikan pelepasan bersyarat, berikutan bukti terhadapnya lemah.

Hakim turut memberikan masa tiga hari lagi untuk memutuskan sama ada suspek keempat Salh El Karib perlu direman atau dibebaskan daripada tahanan. – AFP, 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen